Saturday, August 22, 2009

Adab Berbuka Puasa Menurut Sunah

ADAB-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunah.

Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.

Sedangkan dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al- Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:

“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadis:

1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):

“Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.” (at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

2. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis.

Tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Kini di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Dalam hadis daripada Anas katanya:

“Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan jika tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.” (Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

1. Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):

“Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.” (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut). Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunah Nabi s.a.w.

2. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w. bersabda:

“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Riwayat di atas juga menambah:

Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata.

Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:

“Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.” (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

Adapun jika makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

“Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.” (Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

3. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:

Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-`Araf:31).

4. Dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:
“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” (Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).

Hadis ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi s.a.w. menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadis ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

(Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut:

”Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.” (Faidh al-Qadir, 2/500).

Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:

“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila berbuka, Baginda bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah.” (Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan)

Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.

6. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.:

“Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.”

(Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. ketika berpuasa. Semoga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.

ELAK KE HOSPITAL JIKA TIDAK PERLU

Salam,

Antara arahan Ketua Pengarah Kesihatan agar sesiapa yang sakit ke hospital segera untuk menerima rawatan.

Namun, jika boleh, sebaik-baiknya cuba elakkan daripada ke hospital kerana hospital adalah pusat segala pesakit H1N1 berkumpul.

Saya kasihan dengan sesetengah pesakit yang beratur berjam-jam untuk berjumpa doktor di hospital kerajaan kerana terlalu panik terkena jangkitan, sedangkan hanya terkena batuk dan selsema ringan.

Padahal risiko anda semua ke hospital, terpaksa menunggu lama di hospital, bertemu secara langsung dengan pesakit yang dikhuatiri ada H1N1 meningkatkan peluang anda untuk terkena jangkitan. Datang ke hospital tiada H1N1, pulang dari hospital dengan H1N1.

Kalau makhluk halus macam cerita "Jangan Pandang Belakang" itu mengikut anda pulang ke rumah, anda sorang sahaja yang dirasuk... tapi kalau makhluk halus macam H1N1 ikut anda pulang, satu kampung boleh terkena!

Ada yang bawa anak melawat ke hospital untuk melawat pesakit terutama di hospital swasta (hospital kerajaan ada larangan membawa kanak-kanak). Membawa anak kecil melawat pesakit adalah membahayakan diri anak-anak. Kita tahu co-morbid yang boleh membawa kematian kepada pesakit H1N1 adalah anak berusia 5 tahun ke bawah.

Jika ada keperluan melawat pesakit di hospital, sila pakai topeng muka.

Nasihat saya kepada semua pembaca, kalau tidak sihat sedikit-sedikit, macam selsema ringan atau, batuk ringan tanpa demam, tidak perlulah ke hospital. Pergi klinik berdekatan dan ambil MC pun cukup. Jika bawa anak untuk tujuan vaksinasi dan sebagainya, sila pakai topeng untuk mengelakkan jangkitan.

Kepada pesakit yang terkena selsema, batuk dan demam, amalkan minum air kosong yang banyak, makan buah-buahan yang tinggi kandungan Vitamin C seperti anggur, limau, epal dan buah-buahan kaya vitamin C yang lain. Anda juga boleh makan pil vitamin C yang boleh didapati klinik dan farmasi. Ada kajian yang menunjukkan Vitamin C boleh menghindarkan diri daripada jangkitan selsema dan meningkatkan imunisasi anda.

Rehat secukupnya, pakai topeng muka, jauhkan daripada orang lain dan amalkan kebersihan diri.

Sekiranya gejala anda nampak melarat seperti sesak nafas, sakit badan semakin teruk, cirit birit dan muntah, demam tiggi yang tidak berkurangan dan lesu, jangan tunggu. Anda boleh pergi terus ke hospital kerajaan dan swasta dengan segera untuk dimasukkan ke dalam wad.

Wallahu Alam.

Monday, August 10, 2009

PEKELILING KKM



Tan Sri/Dato’/Datin/Tuan/Puan,

Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Bil. 10/2009

PANDEMIK (H1N1) 2009 DI MALAYSIA:
LANGKAH PENCEGAHAN BAGI MENGURANGKAN KEMATIAN, LANGKAH KAWALAN PENULARAN DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI/SEKOLAH.

TUJUAN

Surat Pekeliling ini bertujuan untuk memaklumkan tindakan pelaksanaan aktiviti tambahan kepada pencegahan dan pengawalan Pandemik (H1N1) 2009 bagi memperlahankan penularan dan mengurangkan impak pandemik kepada aktiviti sosioekonomi kepada masyarakat dan negara.


LATARBELAKANG

2.1 Penularan pandemik influenza A(H1N1) ke Malaysia telah memasuki komuniti dan jangkitan tempatan ini dijangka akan melibatkan jumlah kes yang tinggi terutama di tempat-tempat yang mempunyai kepadatan penduduk atau penghuni yang tinggi. Penularan ini perlu diperlahankan bagi mengurangkan beban kepada fasiliti kesihatan juga jangkitan kepada golongan berisiko tinggi.


2.2 Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) telah mengeluarkan pekeliling pada 31 Julai 2009 di mana telah mengesyorkan pemberian awal dalam tempoh 48 jam selepas onset simptom, rawatan anti-viral influenza kepada golongan berisiko tinggi.

2.3 Bilangan kluster kejadian jangkitan influenza A(H1N1) yang meningkat dan melibatkan pelbagai sektor termasuk sekolah / institusi pengajian tinggi, tempat kerja dan di komuniti. Kejadian kluster di sekolah dan institusi pengajian tinggi telah mengakibatkan banyak sekolah telah ditutup dan ini memberi impak negatif terhadap aktiviti pembelajaran pelajar.

2.4 Taklimat Mencegah Influenza A(H1N1) di Institusi Pengajian Tinggi telah diadakan pada 1 Ogos 2009. Sesi taklimat ini dihadiri oleh pegawai-pegawai dari semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta dan juga pegawai kesihatan daerah terbabit.

KEPUTUSAN

Bagi mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti pembelajaran dan memastikan rawatan awal dengan anti-viral influenza dapat diberikan dengan segera bagi mereka yang berisiko tinggi dan menunjukkan simptom-simptom jangkitan influenza, Kementerian Kesihatan telah membuat ketetapan berikut;

3.1 Semua kes-kes yang mempunyai simptom jangkitan influenza serta mempunyai faktor risiko(mengandung, obesiti, asma, penyakit paru-paru kronik, diabetik dan golongan imuniti rendah), hendaklah diberi rawatan anti-viral influenza serta-merta TANPA perlu membuat ujian pengesahan influenza A(H1N1). Pemberian rawatan dalam tempoh 48 selepas onset memberi manfaat yang optimum.

3.2 Ujian pengesahan jangkitan influenza hanya perlu untuk kes-kes yang dirawat di hospital (maksudnya di sini yang ditahan di wad sahaja).

3.3 Bagi pelajar sekolah termasuk institusi pengajian tinggi adalah diingatkan bahawa mereka yang bersimptom hendaklah mengelakkan diri daripada menghadiri kelas atau kuliah termasuk aktiviti berkumpulan. Mereka hanya dibenarkan menghadiri aktiviti-aktiviti ini selepas 1 hari bebas simptom jangkitan influenza A(H1N1).

3.4 Untuk tindakan kawalan yang berkesan penularan penyakit influenza di sekolah atau institusi tinggi, kerjasama semua pihak adalah diperlukan termasuk ibu-bapa dan pelajar itu sendiri seperti yang berikut;

a) Pelajar yang bersimptom influenza hendaklah tidak dibenarkan bersekolah oleh IBU BAPA (bukan doktor atau guru tau!) dan hendaklah segera dirujuk mendapatkan rawatan. Mereka hanya dibenarkan bersekolah setelah bebas simptom jangkitan.

b) Semasa pembukaan sesi pagi atau sebelum memasuki kuliah, para guru atau pensyarah hendaklah memaklumkan pelajar yang bersimptom untuk tidak memasuki kelas dan dirujuk untuk rawatan. Mereka hanya dibenarkan memasuki kelas setelah bebas simptom.

c) Penutupan sekolah merupakan pilihan terakhir dalam menangani kejadian influenza A(H1N1) di sekolah atau institusi. Jika penularan terhad kepada kumpulan tertentu, langkah kawalan dan pencegahan hendaklah menumpukan kumpulan ini. Penutupan sekolah atau institusi pengajian tinggi secara total, hendaklah dibuat setelah siasatan dan penilaian risiko yang teliti dijalankan mendapati terdapat justifikasi kukuh berbuat demikian serta dengan persetujuan bersama di antara pihak pejabat kesihatan daerah dan institusi / sekolah.

TARIKH BERKUATKUASA
Surat Pekeliling ini berkuat kuasa dengan serta-merta.

PERTANYAAN

Sebarang pertanyaan hendaklah dikemukakan kepada;

Pengarah Kawalan Penyakit
Bahagian Kawalan Penyakit
Aras 3, 4, 6 dan 8, Blok E10
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62590 Putrajaya

Tel: 03-88834370 / 88834386

Sekian, terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia


KESIMPULAN:

Ini adalah surat pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bil 10/2009 - secara amnya KKM membuat keputusan untuk tidak lagi menutup sekolah-sekolah yang pelajarnya dikesan positif. Setiap hari guru akan mengadakan pemeriksaan kepada semua pelajar. Yang menunjukkan simptom akan disuruh pulang dan cuma kembali ke sekolah setelah sihat. Penutupan kelas atau pengawalan hanya kepada mereka yang terlibat sahaja. Penutupan sekolah dianggap sebagai langkah terakhir.

Saturday, August 8, 2009

H1N1

Soalan lazim mengenai H1N1

1) Bolehkah kita membezakan di antara selsema biasa dengan selsema H1N1 tanpa melalui ujian makmal?

Tidak boleh. Selsema adalah selsema, tetapi terdapat juga perbezaan yang boleh diketahui. Sesetengah gejala seperti batuk, hidung berair, demam, sakit badan, penat, muntah dan cirit berlaku hampir kepada semua pesakit yang menghidap selsema, tetapi gejalanya mungkin boleh berbeza dari seorang-ke seseorang yang lain.
Ada sesetengah pesakit yang mempunyai gejala yang ringan, ada yang pertengahan dan ada sebilangan kecil, kurang dari 10 peratus menunjukkan gejala yang merbahaya termasuk jangkitan paru-paru pneumonia.

Walaubagaimanapun, kajian penting dan pemerhatian oleh Kementerian Kesihatan beberapa minggu lepas menunjukkan hampir 95% daripada semua Penyakit Menyerupai Influenza (PMI) atau Influenza Like Illness adalah disebabkan oleh virus H1N1. (wow! saya pun terkejut!!)

Awal beberapa bulan yang lalu, selsema bermusim adalah disebabkan oleh virus jenis B dan jenis A yang lain, tetapi kini virus yang menyebabkan penyakit ialah dari jenis A (H1N1). Perkara yang sama juga berlaku di negara jiran, yang membawa maksud bahawa virus baru ini membawa masalah dan menyebabkan penyakit bergejala daripada jenis virus-virus yang sebelum ini.

Disebabkan oleh Penyakit Menyerupai Influenza (PMI) ini disebabkan oleh H1N1, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan bahawa tidak perlu lagi ujian makmal diadakan untuk mengesahkan kehadiran H1N1 ini. (Dengar cerita bajet KKM dah makin sikit!)

Kita rawat seolah-olah ia adalah PMI disebankan oleh H1N1. Sekiranya gejalanya ringan, maka kita beri rawatan melegakan masalah (ubat demam paracetamol, hidrasi, ubat batuk dll) dan kuarantin diri, menjarakkan hubungan dan lebih berhati-hati dengan sebarang komplikasi.

Kebanyakan penghidap H1N1 (70%) tidak memerlukan ubat anti virus seperti Tamiflu atau Relenza. Cuma kes-kes yang teruk sahaja perlu dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.


2) Bagaimana doktor membuat keputusan samada seseorang itu patut menerima rawatan khusus untuk H1N1

Selepas 2-3 hari, demam dan batuk tidak berkurang, sila buat rawatan semula, terutama sekiranya terdapat kesukaran bernafas, lemah badan dan pening, atau faktor risiko seperti di bawah:-

1. Obesiti (Kegemukan dilihat mempunyai risiko komplikasi yang lebih tinggi)
2. Diabetes, sakit jantung
3. Asthma, Penyakit paru-paru kronik
4. Wanita mengandung
5. Immuniti yang rendah, pesakit kanser,
6. Mereka yang sudah mempunyai masalah jangkitan paru-paru (pneumonia)

3) Ramai pesakit yang terlalu bimbang kerana mempunyai jangkitan selsema PMI mahu diuji atau dirawat untuk H1N1 di hospital, tetapi disuruh pulang sahaja atau dibiarkan menunggu dan akhirnya tidak diuji. Adakah amalan ini betul?

Tidak ada yang betul atau yang salah tentang amalan ini, kerana wabak ini merebak terlalu meluas dan menyebabkan kita kekurangan sumber. Kes ini bukan hanya di Malaysia sahaja tetapi di semua tempat di seluruh dunia!

Saranan sekarang ialah untuk tidak menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga untuk menjalani ujian di hospital dan klinik. Kemungkinan besar ia sesuatu yang tidak perlu. Saya diberitahu seramai 1000 orang pesakit beratur dengan penuh rasa bimbang di Hospital sungai Buloh untuk menjalani ujian, kerana takut dengan H1N1.

Oleh itu mesej yang disampaikan perlu jelas. Kebanyakan penyakit selsema tidak perlu ujian pengesahan, ringan dan boleh pulih sendiri. 90 peratus akan pulih secara sendiri hanya dengan rawatan mengurangkan simptom, cuma hati hati dengan kemungkinan komplikasi yang emungkin timbul dan faktor risiko yang diterangkan tadi.

Sumber kita sangat terhad terutamanya untuk ujian pengesahan. Masalah ini bukan sahaja di Malaysia tetapisecara global. Permintaan terlalu tinggi di seluruh dunia untuk kit ujian dan bahan reagent kimia untuk H1N1 (Polymerase Chain Reaction) telah melebihi pengeluarannya disebabkan oleh masalah ini.

Sehingga 200 juta kit ujian telah dibahagi-bahagikan ke seluruh dunia tetapi bekalannya sangat kritikal kerana permintaan yang sangat tinggi. Oleh itu, setiap negara perlu mengamalkan kaedah catuan untuk menjalani ujian secara terpilih sahaja kepada pesakit yang betul-betul memerlukan agar pengawasan situasi pandemik dapat dilakukan dengan lebih berkesan.


4) Adakah doktor keliru apa yang perlu dibuat pada waktu merebaknya wabak ini, terutamanya apabila mereka tidak mempunyai kebenaran untuk menjalani ujian makmal bagi pengesahan apabila diperlukan?

Tidak sebenarnya. Pada awalnya wujud kekeliruan apa yang perlu dibuat seterusnya, siapa yang perlu menjalani ujian, siapa yang perlu dirujuk dan siapa yang perlu dimasukkan ke dalam wad. (Betul! Saya ada masalah ini sekarang!)

Tetapi sekarang peraturan telah jelas.

Tidak ada keperluan untuk menjalani ujian pengesahan H1N1 atau apa apa virus pun yang menyebabkan selsema. Kita jangkakan sahaja ia adalah H1N1 kerana ia adalah majoriti daripada kes. Rawat simptom sekiranya ringan, beri kefahaman dan keyakinan kepada pesakit bahawa pesakit yang terkena perlu menjaga kebersihan diri, menjalani kuarantin, menjarakkan hubungan, pakai topeng muka bila mereka batuk atau bersin dan sentiasa berhati-hati dengan keadaan penyakit.

Sekiranya ada sesak nafas dan badan menjadi terlalu lemah, sila ke hospital terus untuk dimasukkan ke wad. Memang dimaklumi bahawa, fasa merbahaya ini tidak selalunya jelas dan difahami oleh semua orang. Tetapi tidak apa lagi yang kita mampu buat - jika tidak kita akan masukkan terlalu ramai pesakit ke dalam wad dan ini boleh menjejaskan perkidmatan kesihatan kita.

Pemerhatian yang lebih ketat dapat membantu yang mana satu pesakit yang betul-betul memerlukan mendapat rawatan yang lebih intensif. Walaubagaimanapun, pasti terdapat kes-kes yang tertentu dimana pesakit semakin teruk tanpa dijangka, dan meninggal dunia sebelum apa-apa boleh dilakukan. Diharapkan ia akan menjadi kes yang terpencil.

Ingatan yang penting ialah semua doktor dan jururawat juga mengetahui bahawa mereka juga perlu berhati-hati dan mengamalkan cara-cara untuk menghalang diri daripada dijangkiti. Masalah ini boleh berlanjutan sehingga satu ke dua tahun. Sekiranya cuai mereka juga boleh terkena jangkitan!


5) Adakah garis panduan dari Kementerian Kesihatan lengkap untuk menangani masalah ini?

Saya fikir, garis panduan dari KKM telah lengkap. Walaupun ada ahli politik yang menyalahkan KKM dan menterinya kerana tidak cekap untuk mengendalikan pandemik ini, tetapi sebenarnya ini tidak tepat.

Kita perlu ingat bahawa ini adalah virus yang baru dan tidak pernah dihadapi sebelum ini. Jangkitannya dan cara perebakannya adalah sangat pantas dan hampir semua orang tidak immun terhadap virus ini.

Kemungkinan, suatu hari nanti, semua sumber dari kerajaan dan sektor swasta boleh digemblengkan untuk disalurkan ke arah yang lebih efisyen. Masalah logistik boleh berlaku kerana manusia adalah berbeza dari segi kapasitinya untuk memahami sesuatu masalah dan mengikut arahan-arahan yang diberikan daripada pelbagai pihak.

Adakalanya permintaan daripada pesakit adalah luar biasa dan kadang-kadang tidak terikut. Setiap pesakit merasakan bahawa penyakitnya adalah lebih bahaya dan memerlukan lebih penjagaan dan analisa.

Doktor juga berada di dalam tahap tidak pasti tentang keseriusan atau tahap bahaya penyakit baru ini - kita cuma baru cuba memahaminya dengan lebih baik sekarang. Oleh itu tahap keyakinan dan penerangan yang diberikan oleh doktor kepada pesakit tidak begitu meyakinkan bagi pesakit terutama kepada pesakit atau saudara mara yang terlalu bimbang.

Tidak ada banyak yang doktor boleh lakukan di dalam keadaan terdesak seperti ini terutama dengan cepatnya merebaknya penyakit ini seolah-olah merebaknya api ganas di dalam hutan. Apapun, kita jangan panik. Ingatlah bahawa 90% daripada pesakit yang terkena akan pulih dan mengalami kesan yang ringan. Kemungkinan hanya 10% sahaja yang dijangka akan mengalami masalah dan dimasukkan ke wad.


6) Adakah adil untuk menghadkan ujian pengesahan H1N1 hanya kepada pesakit yang dimasukkan ke hospital?

Saya sudah terangkan bahawa keadaan kekurangan kit dan alat reagent untuk menjalankan ujian pengesahan. Lagipun ujian ini tidak boleh dilakukan kepada semua orang di seluruh dunia. Apatah lagi kita mengetahui bahawa hampir semua penyakit jangkitan selsema, batuk dan gejala flu sekarang disebabkan oleh H1N1.

Rasional kita menjalankan ujian pengesahan kepada pesakit dalam wad ialah supaya kita dapat menghadapi musuh yang jelas, mengasingkan pesakit yang mempunyai virus yang bermutasi. KKM juga sedang membuat kajian secara rawak di seluruh negara untuk mengetahui dengan lebih tepat jenis-jenis virus yang merebak sekarang.


7) Adakah kita kekurangan ubat anti-virus (Tamiflu, Relenza)? Bolehkah saya makan Tamiflu?

Ubat antivirus ini didapati di kebanyakan klinik dan hospital ketika penularan wabak selsema burung (avian flu) tetapi sekarang sangat-sangat terhad. Kita kena ingat ubat ini juga dipesan oleh 167 negara di seluruh dunia.

KKM telah menyimpan di dalam stok 2,000,000 dos tamiflu dan ubat generiknya. Di dalam mesyuarat pandemik antara menteri yang lepas, Malaysia akan meningkatkan simpanan tamiflu kepada 5.5 juta dos iaitu meliputi 20 peratus populasi rakyat.

Buat masa ini, negara tidak mengalami kekurangan tamiflu. Ia cuma belum diedarkan secara umum lagi. KKM perlu memantau pemberian ubat ini dengan lebih ketat.

Sektor swasta pula berlainan pendapat dan mahukan ia diedarkan dengan lebih terbuka kepada umum dan kawalan dapat dikurangkan. Tetapi kita maklumi bahawa terdapat ketakutan yang mempunyai dasar, iaitu apabila berlaku rintangan (resistant) oleh virus ini. Cuba bayangkan virus H1N1 yang tidak lagi lut kepada apa-apa ubat antivirus. Tidak ada apa-apa lagi yang boleh menghalang kita dibunuh oleh virus ini!

Jenis virus rintangan ubat (drug resistant virus) yang kebal ini telah dikesan di Mexico, sempadan US, Vietnam, Britain dan Australia. Oleh itu kita perlu lebih cakna dan menilai keadaan semasa dengan lebih bijaksana.

Walaubagaimanapun, oleh kerana terdapat situasi di mana orang yang sihat pada asalnya tiba-tiba berubah menjadi kritikal atau meninggal dunia, maka para doktor tidak menolak kemungkinan bahawa virus jenis yang lebih garang ini sudah sampai ke tanahair kita. Atau mungkinkah kita yang lambat untuk memberi rawatan yang sepatutnya.

Tol kematian ke angka 14 (yang saya tahu 15 orang - seorang belum diumumkan) semakin membimbangkan. Pihak KKM sedang melihat perkara ini dan membuat kajian samada virus bermutasi ini sedang merebak. Kita berharap ia belum lagi berlaku.


8) Apakah masalah yang dihadapi doktor di dalam menghadapi H1N1?

Ia sangat berguna apabila doktor memberikan perhatian yang lebih kepada informasi tentang H1N1, mengetahui perubahan dan pembaharuan informasi setiap hari. Ini boleh membantu pesakit kita.

Melayari internet setiap hari untuk mengetahui informasi terkini boleh membantu. Daripada asyik merungut tentang kekurangan data dan maklumat di dalam arus perdana, para doktor perlu bersikap proaktif dan bertanggungjawab di atas masalah ini yang mungkin berlarutan sehingga ke satu atau dua tahun lagi.

Yang lebih penting, tumpukan perhatian yang lebih terhadap jangkitan paru-paru, faktor risiko dan rujuk secepat mungkin untuk penjagaan yang lebih rapi.

Kemudahan antivirus yang lebih mudah, penggunaannya yang bertanggungjawab, dan pemerhatian yang serius dapat mengurangkan keresahan dan kebimbangan orang ramai terhadap kelewatan menerima rawatan. Menggunakan antivirus secara tidak terkawal atau untuk mengelakkan jangkitan adalah cara yang salah dan menyebabkan keadaan menjadi bertambah buruk.

Walaupun begitu, merujuk kepada kes-kes di mana pesakit yang muda tiba-tiba meninggal dunia, maka penggunaan antivirus ini perlu digunakan lebih awal dan lebih aggressif.

Kita mengalu-alukan kehadiran Vaksin H1N1 spesifik dijangka pada akhir tahun. Buat masa ini, kepada petugas di barisan hadapan, pesakit jantung dan paru-paru dan pengembara yang sering ke luar negara dapat mengambil vaksin untuk flu bermusim yang boleh membantu mengurangkan masalah flu dari jenis lain.


9) Adakah kita sudah melaksanakan apa yang patut dan perlu dibuat?

Ya, apabila kita mellihat apa negara lain buat, kita secara relatifnya agak baik. Kita tidak telalu menakut-nakutkan orang ramai tentang bahaya penyakit ini dan dalam masa yang sama kita adalah telus di dalam menyatakan kemungkinan bahawa penyakit ini semakin merebak.

Pada awalnya, terdapat agensi, orang ramai dan doktor menuduh kami terlalu membesar-besarkan pandemik ini. Dan maklum balas kami dianggap terlalu melampau. Terlalu membesar-besarkan! Hanya apabila ada pesakit yang mati, maka apa yang kita buat sekarang pula dianggap terlalu sedikit!

Jika kita ikhlas memikir tentangnya, cuba bandingkan dengan negara lain, dan kita dapati bahawa tidak ada satu pun kerajaan di negara lain yang berjaya menangani masalah ini secara tepat.

Kita sedang mempelajari penyakit pandemik flu ini, dan maklumbalas setiap egara adalah berdasarkan pengalaman mereka yang lalu. Di Hong Kong, China, Vietnam, Singapore dan Malaysia, kita pernah mendapat penularan SARS, oleh itu kita lebih paranoid!

Dan pengalaman kita juga, tidak ada flu yang menyebabkan kematian sebelum ini, tak seperti di barat dimana flu bermusim membunuh beratus malah beribu orang setiap tahun! Oleh itu, ketakutan kepada H1N1 tidaklah setanding di barat. Walaupun sekarang ia semakin digeruni, apatah lagi kemungkinan ia akan bertukar kepada virus yang lebih garang menyebabkan ombak kedua atau ketiga pandemik ini, kita tidak akan tahu sehingga setahun dua tahun lagi.


10) Adakah orang ramai secara umum sudah cukup membantu untuk mengawal penularan ini?

Saya fikir orang ramai sudah cukup diberitahu tentang H1N1 pandemik ini. Malah mereka mungkin terlalu tahu sehingga mereka menjadi terlalu takut. Yang lebih penting, jangan panik dan berlebih-lebih.

Sudah pasti bahawa H1N1 akan merebak ke sekolah, universiti, akademi, kilang, pejabat, tempat kerja dll. WHO menganggarkan hampir 20-30 peratus populasi dunia akan dijangkiti penyakit ini setelah mengkaji model jangkitan penyakit-penyakit yang lalu. Cra jangkita utama dan yang paling pantas ialah melalui jalan udara.

Dimana flu-flu yang terdahulu mengambil masa 6 BULAN untuk merebak ke sekian banyak negara, H1N1 "berjaya" menular ke bilangan negara yang sama dalam masa 6 MINGGU!

Jika senario yang paling teruk berlaku, wabak ini dijangka akan menyebabkan kemasukan hospital sebanyak 100,000 orang sehingga ke 500,000 orang, dan kemungkinan melibatkan 5,000-27,000 orang akan meninggal dunia!

Oleh kerana kita telah memerhatikannya dengan rapat dan mengawal daripada merebak sehingga kini, keprihatinan dan tanggungjawab sosial yang tinggi daripada orang ramai, ia mungkin boleh mengawal jangkitan dan kes kematian ke tahap terkawal.

Bagaimana orang ramai boleh membantu? Pertama belajar dan laksanakan kebersihan diri yang baik. Sekiranya sakit, pastikan anda duduk di rumah, aau paling baik duduk di dalam bilik. Pakai topeng muka (topeng 3-ply pun dah cukup). Jangan keluar, jarakkan diri anda dengan orang lain lebih kurang 3 meter. Jangan keluar dan menyebarkan virus.

Bagi orang muda, ia adalah sesuatu yang sukar. Itu sebabnya virus ini merebak dengan cepat bagi golongan umur 16-25 tahun.

Bila penyakit ini tidak kurang selama beberapa hari, atau semakin teruk, pergi ke hospital yang berdekatan. Yang lebih penting, sentiasa berhati-hati dalan amalkan sikap bertanggungjawab.

Akhirnya, ambil tahu tentang berita terkini kerana informasi tentang penyakit ini sentiasa diperbaharui..

Vaksinasi H1N1 secara besar-besaran akan tiba dan masalah ini kita akan dapat atasi juga. Sementara itu, ia akan mengambil masa, tenaga, kesabaran, penggemblengan tenaga daripada pihak yang berwajib dan juga orang ramai dan menggunakan sumber kewangan yang banyak.

(Dr David KL Quek ialah Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Terjemahan oleh Dr Shahrizal Azwan Samsudin

H1N1- Relenza



RELENZA (ruh-LENS-uh) ialah sejenis ubat yang digunakan sebagai penyembuh penyakit influenza disebabkan oleh virus influenza. Ia juga digunakan untuk membantu mengelakkan jangkitan virus influenza.

Seseparuh ubat anti virus hanya mengelakkan virus influenza A sahaja, Relenza adalah effektif untuk memberi perlindungan bagi kedua-dua influenza jenis A dan B.


BAGAIMANA RELENZA BERTINDAK?

RELENZA berasal dari sejenis kumpulan ubat yang dipanggil neuraminidase inhibitors. Ubat ini mensasarkan kepada virus influenza itu sendiri dan menghalangnya daripada merebak ke dalam tubuh manusia. Oleh itu RELENZA menyembuhkan penyebab utama kepada influenza itu sendiri dan bukannya hanya menyembuhkan simptomnya sahaja.

Ia boleh diambil dari umur 7 tahun sehingga dewasa.


BILA WAKTU SESUAI MENGAMBIL RELENZA ?

Waktu yang paling sesuai mengambil Relenza apabila anda terdedah kepada virus influenza (katakan H1N1) dalam masa 48 jam. Ia adalah waktu terbaik dan sangat mujarab untuk menyembuhkan influenza. Sekiranya sudah melepasi waktu tersebut, maka kemungkinan Relenza ini tidak lagi berkesan.


SIAPA YANG TIDAK BOLEH MENGAMBIL RELENZA ?

RELENZA tidak boleh diambil kepada penghidap masalah paru-paru kronik dan penghidap asthma. Ada kajian menunjukkan pesakit-pesakit ini akan mengalami kekejangan otot pernafasan (bronchospasm) dan mengakibatkan kesesakan nafas yang membahayakan.

Sekiranya anda tiba-tiba sesak nafas kerana mengambil Relenza (terutama kepada pesakit asthma), pastikan ada mengambil terus "fast acting bronchodilator" seperti ventolin inhaler sebelum berkejar ke hospital.

Kajian juga menunjukkan bahawa sekira anda penghidap penyakit di atas, Relenza tidak membantu mengurangkan simptom dan waktu jangkitan influenza

Anda juga tidak boleh mengambilnya sekiranya wujud alahan pada ubat-ubat antivirus sebelum ini.


BAGAIMANA CARA MENGAMBIL RELENZA

Relenza pada awalnya adalah dalam bentuk pil. Kajian mendapati bahawa keberkesanan ubat ini apabila dimakan adalah sangat-sangat rendah. Oleh itu sejenis alat dipanggil rotating diskhaler (ROTADISK) diperkenalkan oleh Glaxo Smith Kline.

Rotadisk ini adalah sejenis alat berbentuk bujur, yang terdapat muncung dihadapannya. Apabila penutupnya dibuka, ubat ditebuk menggunakan alat khas, dan anda akan menghisap ubat tersebut dari muncungnya. Ubat tersebut akan masuk terus ke paru-paru anda seperti serbuk (mist).

Sekiranya anda sudah terdedah kepada H1N1, anda kena mengambilnya 2 kali sehari selama 5 hari (boleh teruskan selama 10 hari). Setiap kali ambil, anda perlu menghisap 2 dos (contohnya 2 dos pagi dan 2 dos petang). Sekiranya anda masih belum terdedah (mengambil untuk mengelak terkena sahaja), maka anda perlu mengambilnya sekali sehari selama 10 hari.

KESIMPULAN

Ubat Relenza ini sudah berada di dalam pasaran. Saham Glaxo Smith Kline di UK tentu meningkat mencanak-canak tahun ini. Mana tidaknya, satu ubat relenza ni berharga RM 198.00 bagi 5 hari penggunaan sahaja.

H1N1- info

1.Apakah yang anda perlu tahu berkaitan dengan jangkitan pernafasan?

Terdapat beberapa jenis jangkitan pernafasan yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat iaitu

* Seasonal Flu / selesema bermusim/ influenza like illness (ILI)

1. Disebabkan oleh pelbagai jenis virus influenza yang telah sedia ada di dalam persekitaran
2. Gejala utama adalah demam dan batuk atau sakit tekak serta hidung berair, hidung tersumbat, sakit otot, sakit kepala, menggigil (chills) dan keletihan. Gejala-gejala ini juga dikenali sebagai gejala influenza-like-illness (ILI)
3. Kebiasaanya jangkitan ini sembuh dengan sendiri dalam tempoh dua minggu dan pesakit akan memperolehi imuniti terhadap jangkitan ini
4. Jangkitan ini adalah lebih berbahaya jika ia berlaku dalam kalangan inidividu yang mempunyai penyakit sampingan yang lain seperti asthma, diabetes, penyakit paru-paru kronik , obesiti dan kegagalan organ.

* Common Cold

1. Disebabkan oleh berbagai jenis virus
2. Gejala utama adalah hidung tersumbat/hidung berair/bersin/sakit tekak/gatal tekak/batuk dan pesakit mungkin mengalami demam
3. Gejala ini lebih ringan daripada seasonal flu dan biasanya pesakit sembuh dalam masa 3-10 hari

* Pharyngitis / radang tekak

1. Kebiasaannya ia disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus di bahagian tekak
2. Gejala utama adalah sakit tekak dan demam
3. Kebiasaannya ia memerlukan rawatan antibiotik dan rawatan simptomatik seperti ubat demam/sakit tekak dan sebagainya

* Pneumonia/ jangkitan paru-paru

1. Kebiasaanya ia disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus di dalam paru-paru
2. Gejala utama adalah demam/batuk berkahak/sukar bernafas
3. Pesakit perlu mendapat rawatan di hospital



2.Apakah itu penyakit Influenza A (H1N1)?

Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit berjangkit pada saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza A(H1N1).

Virus influenza ini adalah sejenis virus yang baru dan terhasil daripada reassortment (percampuran) genetik virus influenza babi, burung dan manusia.
Lagi...


3.Kenapa virus baru H1N1 ini sering dikaitkan dengan “swine flu” (selesema babi)?

Virus ini dikenali sebagai selesema babi (swine flu) kerana berdasarkan ujian awal makmal ia menunjukkan kebanyakan gen virus ini adalah sama seperti gen virus selesema babi yang berasal dari Amerika Utara.
Walau bagaimanapun kajian terperinci menunjukkan bahawa ia adalah sejenis virus baru yang berbeza dengan virus selesema babi sedia ada.


4.Negara mana yang dilanda penyakit ini?

Maklumat yang ada pada masa ini menunjukkan bahawa kes yang terawal dijangkiti virus ini dilaporkan dari Mexico dan Amerika Syarikat pada April 2009 dan telah terus menular ke negara-negara lain.
Untuk maklumat terkini tentang negara-negara yang dilanda penyakit ini, sila rujuk laman web http://www.who.int/en


5.Apakah gejala virus ini?

Gejala jangkitan virus influenza A(H1N1) adalah serupa dengan gejala selesema bermusim (influenza-like-illness) termasuk demam; batuk, sakit tekak dan gejala lain seperti selesema, sakit badan, sakit kepala, badan berasa sejuk dan lesu. Terdapat juga individu yang dijangkiti virus ini mengalami cirit-birit dan muntah.


6.Bagaimana kita boleh dijangkiti?

Virus ini berjangkit apabila pesakit batuk atau bersin.
Titisan cecair pernafasan yang keluar akan terkena tangan pesakit, permukaan-permukaan (surfaces) atau tersebar ke udara. Seseorang boleh dijangkiti sama ada melalui pernafasan; melalui sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan yang tercemar dengan titisan cecair pesakit.


7. Bolehkah saya dijangkiti virus H1N1 apabila memakan atau menyediakan babi?

Tidak. Virus H1N1 tidak berjangkit melalui makanan. Individu yang memakan babi atau produk babi tidak boleh dijangkiti oleh virus HIN1. Daging atau produk babi yang dikendalikan dan dimasak dengan betul (160°F/70°C) adalah selamat untuk dimakan.


8. Apa yang perlu saya lakukan jika saya mengesyaki dijangkiti penyakit ini?

Sekiranya anda berasa tidak sihat atau mengalami gejala selesema:

* Anda dinasihatkan untuk berada di rumah dan elakkan berada di tempat kerja, sekolah atau tempat sesak
* Berehat dan meminum banyak air
* Tutup mulut dan hidung bila batuk dan selesema dan, jika menggunakan tisu, buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah. Bersihkan tangan segera dengan sabun dan air atau bersihkan dengan bahan cuci berasaskan alkohol
* Jika anda tidak mempunyai tisu ketika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung dengan dengan lengan dan siku anda
* Gunakan mask bagi mengelakkan titisan cecair tersebar kepada orang lain di sekeliling anda. Pastikan anda memakai mask dengan cara yang betul
* Maklumkan keluarga dan rakan mengenai masalah kesihatan yang anda alami dan elakkan berhubung rapat dengan orang lain
* Seboleh-bolehnya, hubungi pihak kesihatan sebelum ke kemudahan kesihatan bagi membincangkan samada pemeriksaan kesihatan diperlukan
* Jika perlu mendapatkan rawatan lanjut ataupun gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk/sakit tekak yang berterusan hendaklah segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan



9. Berapa lamakah orang yang dijangkiti boleh menyebarkan virus ini?

Selagi mereka mempunyai gejala penyakit ini. Biasanya sehingga 7 hari dari tarikh mula mengalami gejala penyakit ini terutamanya semasa demam

Kanak-kanak boleh menyebarkan penyakit ini bagi tempoh yang lebih lama.


10. Bagaimana anda boleh mengurangkan penularan jangkitan ini?

* Social distancing iaitu menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta meminimumkan majlis perjumpaan
* Adab batuk yang baik (cough etiquette)
* Kebersihan tangan dengan mencuci cara betul dan lebih kerap
* Pengudaraan dalam rumah yang baik
* Kes-kes yang berkomplikasi atau yang berisiko tinggi perlu dirawat di hospital. Pendekatan ini akan memastikan impak negatif penularan pandemik dapat diminimakan
* Mereka yang bergejala ringan, serta tiada masalah kesihatan, digalakkan berehat di rumah dan hanya perlu ke klinik atau hospital apabila gejala menjadi lebih berat.
* Kehadiran banyak kes bergejala ringan ke klinik boleh membebankan keupayaan klinik untuk merawat kes-kes yang berisiko yang sebenarnya perlu diberi perhatian utama
* Mereka yang bergejala perlu memakai mask termasuk mereka yang berisiko tinggi seperti pesakit asthma, obesiti, ibu mengandung, diabetes, dan penyakit kronik paru-paru
* Majikan dan institusi perlu memantau kehadiran pekerja mereka termasuk mereka yang tidak hadir bertugas kerana sakit
* Kejadian kes bersimptom influenza perlu dilaporkan segera kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat



11. Adakah terdapat vaksin khusus untuk melindungi diri daripada Influenza A (H1N1)?

Sehingga kini belum ada vaksin khusus untuk melindungi diri daripada Influenza A (H1N1). Walau bagaimanapun usaha-usaha penghasilan vaksin ini sedang jalankan.

Vaksin sedia ada pada masa ini adalah vaksin influenza bermusim yang TIDAK memberi perlindungan daripada jangkitan influenza A(H1N1).


12. Terdapatkah ubat untuk merawat penyakit ini?

Buat masa ini terdapat dua jenis ubat antiviral iaitu oseltamivir (Tamiflu®) dan zanamivir (Relenza®) yang boleh digunakan untuk merawat penyakit ini. Ubat ini hanya diberikan kepada pesakit-pesakit yang dimasukkan ke hospital-hospital tertentu.


13. Bolehkah antiviral ini mencegah jangkitan influenza A(H1N1) ?

Tidak. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membeli ataupun mengambil antiviral ini bagi tujuan untuk mencegah jangkitan. Pengambilan antiviral yang berleluasa boleh mengakibatkan terjadinya resistan terhadap ubat tersebut. Ini akhirnya mengakibatkan ubat tersebut tidak lagi berkesan untuk merawat jangkitan influenza.


14. Bolehkah kita ke luar negara?

Buat masa ini, Kementerian Kesihatan menasihatkan kepada mana-mana individu yang ingin membuat perjalanan ke luar Negara terutamanya negara-negara yang terjejas supaya mengambil langkah-langkah pencegahan yang sesuai semasa berada di sana.
Sekiranya anda jatuh sakit sama ada semasa berada di luar Negara atau setelah kembali ke Malaysia, segera dapatkan rawatan doktor.


15. Kawan saya baru pulang dari salah sebuah Negara yang terjejas, adakah beliau boleh terus hadir ke tempat kerja atau dikenakan tindakan kuarantin. Apakah yang patut saya lakukan sebagai rakan sekerja?

Sebagai seorang warga kerja yang bertanggungjawab, seseorang yang baru pulang dari luar Negara dan sihat tidak dikenakan tindakan kuarantin tetapi beliau perlu memantau kesihatan diri terutamanya gejala demam/batuk/sakit tekak/selesema.

Sekiranya individu tersebut berasa tidak sihat, beliau hendaklah berehat di rumah sekurang-kurangnya dalam tempoh 3-4 hari atau sehingga beliau pulih.

Sementara itu pihak majikan perlu menasihati pekerja mereka yang mempunyai gejala influenza untuk tidak hadir bagi mencegah penularan penyakit ini berlaku di tempat kerja dan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk.

Pihak majikan juga hendaklah melaporkan sebarang kejadian dalam kalangan pekerja bergejala influenza kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) majikan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya. Dengan itu adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk membenarkan pekerja yang mengalami gejala-gejala influenza-like-illness untuk berehat di rumah sehingga pulih supaya pekerja lain tidak terdedah kepada jangkitan Influenza A(H1N1) ini. Pekerja yang mengalami gejala-gejala influenza- like-illness juga berkewajipan untuk berehat di rumah sehingga pulih supaya pekerja lain tidak terdedah kepada jangkitan Influenza A(H1N1) ini.


16. Anak saya belajar di salah sebuah institusi/ sekolah yang mempunyai kejadian influenza A(H1N1), apakah yang perlu saya lakukan?

Sekiranya institusi/sekolah ditutup untuk tempoh tertentu, anak tuan hendaklah sentiasa berada di rumah dan memantau kesihatan diri. Pada masa yang sama pihak sekolah tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang aktiviti di dalam tempoh penutupan tersebut

Jika anak tuan mempunyai gejala selesema (influenza-like-illness) yang ringan, beliau perlu sentiasa mengamalkan langkah pencegahan di rumah di samping memantau kesihatan diri menggunakan Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah. Sekiranya gejala berterusan dan bertambah teruk, anak tuan perlu mendapatkan rawatan doktor.

Sekiranya institusi/sekolah anak tuan tidak ditutup, beliau dinasihatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan tersebut


17. Adakah sekolah yang ditutup perlu dibasmi kuman sebelum dibuka semula?

Tidak. Pada umumnya sekolah akan ditutup dalam tempoh seminggu. Perlu diketahui bahawa virus H1N1 ini hanya dapat bertahan di persekitaran dalam tempoh 48 jam.


18.Apakah yang dimaksudkan dengan penutupan sekolah?

Apabila sesebuah sekolah harian ditutup kerana jangkitan influenza A(H1N1), ia bermakna semua kakitangan termasuk guru dan lain-lain kakitangan sokongan serta pelajar dikehendaki untuk berada di rumah.

Ia bertujuan bagi mencegah penularan jangkitan dan seterusnya memastikan individu yang mengalami gejala-gejala influenza-like-illness untuk berehat di rumah sehingga pulih supaya orang lain tidak terdedah kepada jangkitan Influenza A(H1N1) ini.


19. Kalau seseorang pesakit positif H1N1 dan telah sembuh, adakah beliau boleh hadir ke tempat kerja seperti biasa?

Ya, beliau boleh hadir ke tempat kerja seperti biasa. Secara umumnya seseorang pesakit yang telah mendapat rawatan lengkap, tidak akan menjangkiti orang lain.


20. Bolehkah saya mendapatkan refund ticket sekiranya saya ingin membatalkan perjalanan ke Negara yang terjejas.

Sekiranya anda ingin membatalkan tiket penerbangan sila dapatkan pengesahan kesihatan daripada doktor yang berdekatan. Perlu diingatkan bahawa individu yang mempunyai penyakit sampingan yang lain mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat jangkitan influenza A(H1N1) yang lebih teruk.


21. Apakah yang dimaksudkan dengan jangkitan manusia yang berterusan (sustained human to human transmission)?

Penularan jangkitan influenza A(H1N1) berlaku secara berterusan dalam kalangan manusia dan punca jangkitan tersebut tidak dapat dikenalpasti


22.Apakah yang dimaksudkan dengan Fasa Mitigasi

Aktiviti mitigasi adalah tindakan membendung wabak pandemik H1N1 di Malaysia dengan memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan seperti mengamalkan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dan mengamalkan adab batuk yang sesuai.

Strategi utama fasa ini adalah untuk mengurangkan kesengsaraan dan kematian akibat penyakit ini, melambatkan jangkitan penyakit dan mengurangkan kesan terhadap gangguan perkhidmatan utama.
Lagi...


23.Berapa lama virus ini boleh hidup di atas permukaan objek? (seperti buku dan tombol pintu)?

Kajian menunjukkan virus influenza boleh bertahan pada permukaan objek dan menjangkiti orang antara tempoh 2 hingga ke 8 jam.


24.Apa yang boleh memusnahkan virus influenza?

Virus influenza boleh dimusnahkan dengan kepanasan [75-100°C]. Selain itu, bahan kimi pemusnah kuman, termasuk klorin, hirogen peroksida, bahan cuci (sabun), iodophors (antiseptik berasaskan iodin), dan alkohol adalah berkesan terhadap virus influenza, jika digunakan dengan sukatan dan tempoh masa yang betul. Sebagai contoh, bahan pengelap atau jel beralkohol boleh digunakan untuk membersihkan tangan. Jel ini perlu digosok pada tangan sehingga ia kering.


25.Apakah permukaan objek yang mudah menjadi punca jangkitan?

Kuman boleh merebak apabila seseorang menyentuh objek yang dijangkiti kuman dan kemudiannya menyentuh mata, hidung atau mulut. Titisan cecair (batuk atau bersin) daripada individu yang dijangkiti tersebar melalui udara. Kuman boleh tersebar bila seseorang menyentuh titisan cecair pernafasan pesakit yang terlekat pada permukaan objek seperti meja, sebagai contoh, dan kemudiannya memegang mata, hidung atau mulut mereka sendiri sebelum membasuh tangan.


26.Adakah pekerja asing yang baru pulang daripada tanah air mereka perlu menjalani saringan atau pemeriksaan kesihatan?

Tidak. Pihak majikan perlu menasihatkan mereka untuk mengamalkan langkah pencegahan dan memaklumkan kepada majikan jika mengalami gejala influenza-like illness.

Bagi maklumat lanjut, sila hubungi Bilik Gerakan CPRC Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03–8881 0200/0300 atau e-mel ke cprc@moh.gov.my