Sunday, January 16, 2011

Nyaris Rentung

Tindakan pantas seorang kakak berjaya menyelamatkan dua adiknya daripada rentung. Kebakaran menyebabkan rumah mereka hangus. Lebih memilukan semua persiapan menghadapi SPM dan UPSR mangsa musnah.

Kebakaran 3.15 petang tadi membabitkan sebuah unit rumah di tingkat empat, Blok B, Rumah Pangsa Taman Melati. Ketika kejadian, tiga beradik terbabit berada di dalam rumah.

Ibu, Amirah Saadullah, 43 tahun, keluar bekerja sebagai pemandu teksi. Ayah pula di Rembau atas urusan perniagaan. Api bermula di sebuah bilik dan disedari Nurdhaniyah Shamsu Shuhaimi, 17 tahun yang terhidu bau asap. Adiknya, Mohd Fikri, 12 tahun dan Mohd Farid, 5 tahun tidur di ruang tamu.

Nurdhaniyah segera menarik kedua-duanya dan sempat membuka pintu hadapan sebelum api marak. Jeriji besi pintu hadapan yang tidak berkunci membolehkan dia sempat bertindak.

Api berjaya dikawal bomba setengah jam kemudian. Punca kebakaran dalam siasatan.

Makmal Transformasi Kaji Keperluan Belia

Satu makmal transformasi pembangunan belia akan diwujudkan, bagi mengkaji kehendak dan keperluan belia negara.

Tumpuan khusus diberi kepada kelompok belia yang dikategori sebagai " gen y ", berusia antara 10 hingga 28 tahun, yang mewakili 11.4 juta orang.

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mesyuarat pertama jawatankuasa kabinet mengenai pembangunan belia di Putrajaya.

Kelompok lain yang dikenalpasti adalah " gen. x ", berusia 29 hingga 45 tahun, mewakili 3.7 juta orang manakala "boomers" berusia 45 hingga 56 tahun, mewakili 4.95 juta orang.

Penubuhan makmal itu katanya, akan diselaraskan Kementerian Belia dan Sukan bersama menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebelum dibentangkan kepada kabinet untuk kelulusan dalam tempoh enam hingga lapan minggu.

Rusuhan Di Karachi, 37 Maut

37 maut dalam rusuhan sebagai membantah kematian pemimpin parti politik pergerakan Muttahida Qaumi, MQM, Raza Haider di bandar Karachi, Pakistan.

Haider dan pengawal peribadinya ditembak mati ketika menghadiri majlis pengkebumian di masjid Nazimabad.

Ketua polis Karachi, Waseem Ahmed berkata 90 mangsa turut cedera sementara puluhan kedai dan kenderaan dibakar dalam rusuhan yang tercetus.

Tegasnya, polis mempunyai maklumat pembunuhan Haider dilakukan sebuah pertubuhan yang diharamkan.

Seteru utama MQM adalah Parti Kebangsaan Awami, parti nasionalis sekular yang majoriti dianggotai etnik pashtun.

Kerajaan mengarahkan agar sekolah dan kolej di Karachi dan bandar sekitarnya ditutup hari ini.

Pembunuhan Haider mencetuskan ketidakstabilan di Karachi yang sebelum ini sering dikejutkan dengan keganasan politik, etnik dan perbezaan mazhab.

Penjaga Kuil Mati Diserang

Gara-gara tabung kuil, nyawa pemilik sebuah kuil hindu di bandar Puteri Puchong, melayang.

Siasatan polis mendapati, 3 lelaki yang menyerang mangsa mendakwa mangsa melarikan sejumlah wang milik tabung kuil itu.

Setelah dibelasah dan ditetak, mangsa yang parah sempat melarikan diri dengan keretanya menuju ke sebuah stesen minyak berhampiran untuk meminta bantuan.

Bagaimana pun, mangsa rebah dan mati akibat pendarahan teruk.

Tidak lama selepas kejadian, seorang daripada tiga suspek membuat laporan polis, mendakwa mangsa cedera akibat terjatuh.

Ketua Polis daerah Serdang, ACP Abdul Razak Elias berkata, keterangan awal suspek mengelirukan, menyebabkan dia ditahan.

Pemeriksaan polis mendapati cermin sebelah pemandu kereta mangsa dipecahkan, dipercayai dihentak objek keras ketika mangsa cuba melarikan diri.

Polis sedang memburu dua lagi suspek kejadian.

Bekas ADUN Permatang Mati Ditembak

Tiada individu lain terbabit.

Itu disahkan Ketua Polis Selangor ketika cuba merungkai misteri kejadian bekas ADUN Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noh dan Naib Ketua Wanita UMNO bahagian Tanjung Karang, Siti Rohana Ismat yang ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala masing masing.

Menurut Datuk Khalid Abu Bakar, ketika kejadian 11.30 pagi, kereta dipandu Datuk Abdul Aziz dalam perjalanan dari ibu negara menuju utara.

Sebaik tiba di kilometer 455.7 Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Sungai Buloh, kereta ini dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke kanan lebuhraya sebelum melanggar pembahagi jalan.

Kedua-duanya disahkan meninggal dunia.

Hasil pemeriksaan, polis mendapati ada kesan tembakan di kepala Datuk Abdul Aziz dan Siti Rohana.

Turut ditemui di dalam kereta, sepucuk pistol jenis revolver.

Ia disahkan milik Datuk Abdul Aziz berdasarkan penemuan permit memiliki senjata api dalam sebuah beg.

Kedua-dua mayat dihantar ke hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut seksyen 302 kanun keseksaan.

Datuk Khalid turut mengesahkan, tembakan dilepaskan dari dalam kereta iaitu dua das di kepala Datuk Abdul Aziz dan satu di kepala Siti Rohana.

Menurut Datuk Khalid, tiga kelongsong peluru ditemui di dalam kebuk pistol manakala dua butir peluru pula masih di dalam kebuk pistol.

Polis turut meneliti rakaman kamera litar tertutup di plaza tol bagi memastikan hanya kedua-dua mangsa di dalam kereta sebelum kejadian.

Visa Semasa Ketibaan Tetap DIbatalkan

Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri telah memutuskan untuk tidak lagi memperkenalkan semula visa sewaktu ketibaan kepada pelancong asing di pintu masuk di negara ini.

Sebelum ini, hanya warga India, Pakistan dan Afghanistan dilarang mendapatkan kemudahan VOA.

Diperkenalkan pada 2006, VOA memberi 14 hari untuk seseorang yang memerlukan visa berada di Malaysia.

Tahanan Bolos Dari Depoh KLIA - Memalukan!

Kejadian 20 warga Afghanistan yang bolos dari depoh tahanan KLIA, semalam meninggalkan impak yang cukup hebat.

Kepada Timbalan Perdana Menteri, arahan dikeluarkan siasat punca lolos...mungkin ada dalang di sebalik kejadian.

Kepada Menteri Dalam Negeri, ia satu kejadian memalukan.

Akibatnya, Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah Imigresen diberi kata dua.

Pada 2 mac lalu, 16 mangsa pemerdagangan manusia dari Afghanistan dan Myanmar melarikan diri dari depoh ini.

Tak sampai dua bulan selepas anggota dan pegawai imigresen baru di tugaskan di depoh yang sama, 20 lagi berjaya meloloskan diri semalam.

Bagi Tan Sri Muhyiddin Yassin, arahan siasat punca bolos perlu disulami dengan siasatan kemungkinan wujudnya sindiket yang menyumbang kepada berulangnya kejadian memalukan itu.