Saturday, January 23, 2010

Tunku Ibrahim Ismail


Tunku Ibrahim Ismail ibni Sultan Iskandar, yang dilantik sebagai Pemangku Raja Johor hari ini, merupakan seorang pewaris takhta yang mempunyai banyak keistimewaan.

Mewarisi sifat prihatin ayahanda baginda, putera sulung Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail itu bukan hanya mempunyai latar belakang akademik dan pencapaian membanggakan tetapi baginda juga cukup disenangi kerana keperibadian yang menawan hati rakyat.

Mesra disapa sebagai TMJ (Tengku Mahkota Johor), Tunku Ibrahim, 51, cukup sinonim dengan Program Kembara Mahkota Johor, aktiviti berteraskan kerja-kerja sosial yang diilhamkan baginda sejak 2001.

Konvoi motosikal berkuasa tinggi itu yang dijadikan acara tahunan, membawa baginda dan rombongan pengiringnya terdiri daripada Menteri Besar dan para pegawai negeri lain ke semua lapan daerah di Johor yang menyaksikan Tunku Ibrahim dan rombongan melaksanakan pelbagai projek kebajikan sepanjang laluan konvoi.

Sikap prihatin dan kesungguhan baginda untuk turun padang bagi melihat sendiri kehidupan dan menyelami susah senang masyarakat membina kredibiliti baginda sebagai pewaris takhta yang mesra rakyat.

Semasa kembara pertamanya pada 2001, Tunku Ibrahim tidak kekok untuk mendokong dan mendodoikan seorang bayi yang terlentuk di bahu baginda.

Ketika melawat Kampung Temiang di Muar, baginda sempat menjamah ubi rebus yang merupakan makanan rakyat dengan begitu berselera serta memuji pembuat sambal ubi rebus, iaitu seorang nenek yang terharu dengan pujian Tunku Mahkota Johor.

Kesungguhan baginda untuk merasai kehidupan seharian rakyat jelata di situ jelas terserlah apabila pada satu ketika baginda meneguk air tebu dalam bungkusan plastik yang dihulurkan oleh seorang penduduk.

Tidak bersendirian, aktiviti turun padang itu memecah tembok pemisah antara istana Johor dan rakyat apabila Tunku Ibrahim turut melibatkan isteri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan putera-puteri baginda dalam ekspedisi itu.

Tunku Ibrahim yang menikahi Raja Zarith Sofiah pada 1982 dikurniakan lima putera dan satu puteri, iaitu Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar, Tunku Amina, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Iman.

Diputerakan pada 22 Nov 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, putera sulung daripada 10 adik-beradik itu dilantik sebagai pewaris takhta Negeri Johor apabila ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

Baginda pernah dilantik sebagai Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan.

Tunku Ibrahim menerima pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman Satu, Johor dan kemudian belajar di Trinity Grammar School, Australia pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

Pewaris takhta itu menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek, Johor Baharu.

Setelah tamat pengajian peringkat menengah, Tunku Mahkota dihantar oleh ayahanda baginda ke Pusat Latihan Darat (Pulada), Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan.

Bagi melengkapkan lagi pengetahuan baginda dalam asas ketenteraan, Tunku Ibrahim yang segak itu dihantar ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat untuk mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara.

Baginda kemudiannya mengikuti latihan lanjut ketenteraan dalam Kursus Pegawai-Pegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, Amerika.

Sekembalinya baginda ke tanah air, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Komander, Angkatan Tentera Johor.

Baginda menghadiri kursus latihan helikopter di Pangkalan Tentera Kluang dan menerima sayap selain menamatkan tugas latihan selama dua bulan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Tunku Ibrahim juga sangat berminat dalam bidang sukan, khususnya polo yang telah membawa baginda menyertai kejohanan sehingga ke peringkat antarabangsa, termasuk Singapura, Manila dan Brunei.

Turut menjadi kegemaran baginda ialah sukan tenis, luncur layar, menembak dan memandu kereta.

Sultan Iskandar (1933-2010)


Sultan Johor Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail, 77, telah mangkat di Hospital Pakar Puteri di sini pada 7.15 malam semalam selepas dimasukkan ke hospital berkenaan kerana gering semalam.

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman yang mengumumkan demikian berkata, jenazah baginda akan disemadikan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pada 2 petang hari ini.

“Sultan Johor yang amat dihormati dan dikasihi telah mangkat, berpindah daripada alam fana ke alam akhirat yang baka pada jam 7.15 malam hari Jumaat tarikh 22 Januari 2010 bersamaan dengan 6 Safar 1431H di Hospital Pakar Puteri, Johor Baharu,” katanya ketika membacakan kenyataan pengumuman kemangkatan di Bangunan Sultan Ibrahim malam semalam.

Beliau yang memakai baju Melayu Telok Belanga serba putih bersamping hitam itu turut berkata, permasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan hari ini di Istana Besar sebelum berlangsungnya upacara pemakaman.

Semalam, Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail ibni Sultan Iskandar dilantik Pemangku Raja dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Besar berikutan kegeringan ayahanda baginda.

Abdul Ghani turut ditanya pemberita tentang punca kemangkatan baginda, tetapi enggan menjelaskan lebih lanjut.

“Semoga dicucuri rahmat yang berlebih-lebihan ke atas roh Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan itu,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Latif Yusof dan Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli.

Turut berada pada sidang media itu ialah Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff. Menteri Besar berkata, perangkatan jenazah baginda Sultan Johor ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah akan bermula pada 1.30 petang hari ini.

Rakyat Johor menurut beliau, boleh menziarah jenazah baginda di Istana Besar mulai 9 pagi hari ini, manakala tempoh ziarah bagi orang kenamaan dijadualkan bermula pada 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Sementara itu dalam sidang medianya, beliau turut meminta rakyat dan penduduk negeri ini supaya berkabung mulai hari ini sehingga pemakaman jenazah Almarhum Duli Yang Maha Mulia selama tujuh hari. Manakala bagi kerabat-kerabat diraja pula katanya, tempoh perkabungan adalah selama 40 hari mulai hari ini.

Abdul Ghani berkata, bendera negeri dinaikkan separuh tiang mulai malam semalam selama tujuh hari dan membatalkan segala bentuk hiburan dan permainan sepanjang hari pemakaman baginda. Beliau juga mengarahkan semua masjid dan surau negeri ini supaya mengadakan majlis bacaan tahlil dan doa ke atas roh baginda selepas fardu Maghrib selama tujuh hari mulai hari ini. Sementara itu, jenazah almarhum Sultan Iskandar kelihatan dibawa ke Istana Besar pada 11.22 malam.

Van jenazah yang membawa jenazah baginda dilihat meninggalkan Hospital Pakar Puteri sambil diiringi berpuluh buah motosikal pengiring trafik, kenderaan kerabat diraja Johor, anggota-anggota exco kerajaan negeri Johor dan Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).

Perkarangan hospital tersebut dikawal ketat oleh anggota polis, JMF dan juga Rela berikutan kehadiran ramai petugas media termasuk dari Singapura dan juga rakyat jelata.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah merupakan yang terawal menziarahi almarhum.

Turut melawat almarhum adalah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Datuk Halimah Sadique, dan Ketua Eksekutif Johor Corporation Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Peraturan berkabung

Mengenai peraturan berkabung, beliau berkata orang-orang Melayu perlu memakai tanda perkabungan kain putih selilit saja selebar dua inci pada songkok.Bagi lain bangsa dan agama, Abdul Ghani berkata mereka perlu memakai selilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri dan bertali leher warna hitam.

Katanya, bagi yang memakai uniform dan memakai uniform pada majlis tertentu, mereka perlu melilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri.

"Bagi perempuan Melayu, mereka hendaklah memakai tudung kepala warna putih manakala bagi orang perempuan lain bangsa dan agama, mereka perlu memakai selilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri," katanya.

Abdul Ghani berkata bagi upacara pemakaman pula, lelaki Melayu perlu memakai baju Melayu teluk belanga serba hitam dan lilitan kain putih di songkok hitam manakala lelaki bukan Melayu perlu memakai lounge suit warna hitam, tali leher hitam dan selilit kain hitam tiga inci di lengan kiri.

Beliau berkata bagi yang memakai uniform, mereka perlu melilit kain putih berukuran dua inci di songkok.

Segala darjah dan pingat juga hendaklah dipakai, katanya.