Tuesday, November 11, 2008

KISAH OBAMA


Obama - President
Electoral Votes: 364
Popular Votes: 65,293,083

McCain
Electoral Votes: 162
Popular Votes: 57,325,487

OBAMA memang besar dan mencipta sejarah sebagai orang bukan kulit putih pertama dipilih Presiden. Tetapi ramai pelapor dan pengulas melakukan kesilapan apabila melabelkan Obama sebagai orang kulit hitam atau orang Negro.

Obama bukan orang kulit hitam atau Negro. (Negro dalam bahasa Sepanyol (Spanish) dan Portugis bermaksud hitam, justeru itu orang kulit hitam daripada perkataan Latin Niger.) Dia berdarah campuran. Ibunya seorang kulit putih Amerika dan bapanya seorang kulit hitam Kenya.

Bapanya bernama Barack Hussein Obama, dari suku Luo. Hari ini kebanyakan anggota suku kaum Luo beragama Kristian walaupun ada juga yang beragama Islam.


Saya bertanya Yahoo search (pencarian Yahoo) adakah Barack Hussein Obama Sr beragama Islam? Jawapannya: “Obama Sr. was raised as a Muslim, but later became an atheist.” (Obama Sr. dibesarkan sebagai seorang Muslim, tetapi kemudiannya menjadi seorang atheist.) Atheist didefinisikan sebagai seorang yang tidak percayakan Tuhan atau menolak kewujudan Tuhan.

Ibunya seorang wanita kulit putih Amerika bernama Ann Dunham dari negeri Kansas yang berdarah campuran Inggeris, Irish dan Jerman. Dia dikatakan seorang “
agnostic” (orang yang mencurigai kewujudan Tuhan.) Obama pula adalah seorang penganut Kristian.

Namun, bagi sebuah negara kulit putih yang menjadikan orang Negro hamba abdi yang boleh dijual-beli, dipaksa, diseksa dan diperkosa selama 400 tahun, kemenangan seorang berdarah campuran kulit putih dan kulit hitam adalah menakjubkan.

Empat faktor bersekongkol untuk memberi kemenangan kepada Obama:-

1. Karisma beliau yang menyerlah walaupun masih mudah dan baru empat tahun dalam politik kebangsaan Amerika sebagai Senator;


2. Kebencian terhadap Presiden George W Bush dan parti Republikan, khasnya mengenai penaklukan Iraq;


3. Krisis ekonomi yang melanda Amerika (dan dunia) bermula dengan krisis sub-prima akhir tahun; dan


4. Peningkatan pendaftaran pengundi muda dan pengundi kali pertama, khasnya apabila Obama memang pencalonan parti Demokrat.


Kemenangan Obama mengingatkan saya kepada Douglass Dilman, watak utama dalam novel “The Man” (1964) karya Irving Wallace. Dilman, seorang kulit hitam, menjadi Presiden Amerika apabila Naib Presiden mati dan Presiden serta Speaker Dewan Perundangan terbunuh dalam kemalangan ketika melawat ke luar negara.

Ini menyebabkan kuasa pewarisan jatuh kepada Dilman yang memegang jawatan Presiden Pro Tempore Senat.
Ironinya, Wallace menulis buku itu setahun sebelum Kongres meluluskan Akta Hak Mengundi 1965 (Voting Rights Act) yang memberi hak mengundi sejagat kepada orang kulit hitam.

Sebelum wujud akta itu, pelbagai helah dilakukan, khasnya di negeri-negeri di selatan Amerika, bagi menyekat orang kulit hitam daripada menjadi pemilih dan membuang undi.
Walaupun Amerika merdeka pada tahun 1776, namun orang Negro terus menjadi hamba abdi dan dinafikan hak asasi mereka sehingga tahun 1960an apabila berlaku Pergerakan Hak Sivil (Civil Rights Movement) orang kulit hitam yang dipelopori oleh Dr Martin Luther King yang terkenal dengan slogannya “I have a dream”.

Pada waktu itu, rakyat pelbagai kaum, asal keturunan dan agama di negara kita sudah pun menikmati hak asasi manusia dan hak mengundi sejagat. Orang Afrika Amerika, sebagai kaum minoriti, masih miskin dan terpinggir berbanding kaum majoriti kulit putih. Kadar kemiskinan di kalangan mereka adalah 24.7 peratus pada tahun 2004.

Berlainan halnya dengan di negara kita di mana kaum minoriti sejak merdeka lagi diberikan kuasa politik dan mendahului kaum majoriti dalam aspek pemilikan kekayaan hinggalah ke hari ini. Jadi eloklah kita dalami dan fahami sejarah negara kita terlebih dahulu sebelum kita membuat perbandingan dengan Amerika dan terlalu taasub dengan kemenangan Obama.

Lagipun, ada pengulas mengatakan Obama mungkin lebih “dingin” terhadap isu orang kulit hitam dan kaum minoriti dalam usahanya menampilkan dirinya sebagai Presiden berdarah campuran yang adil kepada semua pihak. (http://kadirjasin.blogspot.com)

No comments: