Sunday, December 21, 2008

ROYAL BELUM


Burung enggang atau Kenyalang sering dikaitkan dengan Sarawak tetapi bagi peminat burung itu, Kompleks Hutan Belum-Temenggor di Perak merupakan tempat yang wajib dilawati.

Tarikan Enggang merupakan satu daripada pelbagai khazanah alam yang tersimpan di hutan hujan tropika itu. Sekali gus mendorong Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) berusaha menyelamatkannya.

MNS memulakan usaha melindungi hutan yang berusia lebih 130 juta tahun itu daripada musnah dalam arus pembangunan, termasuk aktiviti pembalakan, sejak ekspedisi saintifik pertama ke hutan itu pada tahun 1993.

Susulan ekspedisi itu, sebuah buku diterbitkan bagi orang ramai. Ia diikuti turuti dua buah jurnal bagi mengenal pasti spesies hidupan liar, flora dan fauna di kawasan berkenaan yang dipercayai lebih tua berbanding hutan Amazon di Amerika Selatan dan hutan Kongo di Afrika Tengah.

Presiden MNS, Datuk Seri Dr. Salleh Mohd Nor berkata, ekspedisi yang melibatkan lebih 100 saintis dengan 300 sukarelawan menemui pelbagai spesies flora dan fauna di situ.

Penemuan terbesar spesies enggang

Salleh berkata, saintis dan sukarelawan yang menyertai ekspedisi pertama pada 1993 menemui sembilan spesies burung enggang di Belum-Temenggor.

"Pada masa itu, lebih kurang 3,000 burung enggang berterbangan di angkasa secara berkelompok dengan formasi V dan itu adalah satu pemandangan yang sukar ditemui di mana-mana," katanya.

Pada masa itu, kumpulan ekspedisi terbabit tidak menyedari bahawa enggang gunung yang ditemui sebenarnya adalah enggang belantara yang dikategorikan sebagai haiwan terancam.

"Oleh kerana penemuan terbaru tentang enggang belantara itu, maka kesemua 10 spesies enggang yang ada di Malaysia ditemui di Belum-Temenggor. Belum-Temenggor secara tidak langsung menjadi satu-satunya tempat di dunia ini di mana kita boleh menyaksikan enggang berterbangan dalam kumpulan yang besar," katanya.

Salleh berkata, habitat enggang yang bersarang di pokok besar di hutan tebal menjadikan Belum-Temenggor sebagai pilihan 10 spesies enggang untuk berada di hutan seluas 300,000 hektar itu.

Antara penelitian penting yang direkodkan MNS ialah lebih separuh daripada burung enggang itu bersarang dan membiak di bahagian Royal Belum tetapi burung itu kemudian terbang mencari makan di bahagian Hutan Temenggor.

Keistimewaan Belum-Temenggor

Terletak di utara Perak dengan dikelilingi jasad air (Tasik Temenggor) yang berkeluasan 45,000 hektar, Kompleks Hutan Belum-Temenggor mempunyai keluasan 300,000 hektar iaitu kira-kira empat kali ganda besar Singapura.

Di samping menjadi kawasan tadahan hujan utama bagi Semenanjung Malaysia, Belum-Temenggor juga merupakan kediaman pelbagai spesies tumbuhan dan pokok yang melindungi lebih 274 spesies burung.

Belum-Temenggor juga mempunyai lebih 100 spesies mamalia. Ini termasuklah badak Sumatra, harimau belang, beruang madu, seladang dan menjadi tempat sekurang-kurangnya 13 spesies haiwan terancam.

Di kompleks itu juga boleh didapati tiga spesies bunga terbesar di dunia iaitu rafflesia Kerrii (paling besar), rafflesia Kantolii dan spesies terbaru, rafflesia Azlanii (yang diambil sempena nama Sultan Perak).

Secara keseluruhannya terdapat lebih 3,000 spesies pokok berbunga, 168 spesies rama-rama, 64 spesies paku-pakis, 51 spesies siput, 23 spesies ular dan 21 spesies cicak di hutan Belum-Temenggor ini.

Kompleks Hutan Belum-Temenggor secara fizikalnya terpisah dua, oleh Lebuh Raya Timur-Barat yang memisahkan Taman Negeri Royal Belum serta Hutan Simpan Temenggor. Taman Negeri Royal Belum dimasyhurkan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 2003.

Salleh berkata, MNS berharap satu koridor yang menghubungkan kedua-dua hutan itu dapat diwujudkan bagi memudahkan haiwan liar bergerak.

"Taman Negeri itu bagaimanapun hanya meliputi 117,500 hektar daripada kawasan Hutan Royal Belum seluas 132,000 hektar. Ini bermakna tinggal 14,500 hektar lagi yang masih belum diwartakan," katanya.

Katanya, Hutan Temenggor mempunyai nasib yang berlainan kerana hutan itu masih belum diwartakan sebagai taman negeri dengan aktiviti pembalakan masih berjalan.

"Kerajaan negeri sebelum ini berjanji untuk menamatkan aktiviti pembalakan pada tahun depan dan pihak MNS juga telah berjumpa dengan kerajaan negeri baru pada Jun. Secara dasarnya mereka turut bersetuju menghabiskan aktiviti pembalakan pada tahun depan," katanya.

Salleh berkata, MNS turut faham dengan masalah yang bakal dihadapi kerajaan negeri apabila aktiviti pembalakan dihentikan.

"Kami tidak meminta kerajaan negeri untuk menghentikan aktiviti pembalakan hari ini juga tetapi kami meminta pihak terbabit menghentikannya setelah segala perancangan yang dibuat sebelum ini selesai," katanya.

Beliau berkata, Belum-Temenggor bakal menjadi tarikan ekopelancongan yang terkenal di mata dunia jika dipelihara.

"Dengan tarikan pelbagai flora dan fauna dalam hutan yang berusia 130 juta tahun itu, pastinya pelancong serata dunia mahu menyaksikan sendiri keindahan dan keunikan Belum-Temenggor," katanya.

Pengunjung ke Belum-Temenggor juga boleh mendekati beberapa suku Orang Asli seperti Jahai dan Temiar yang masih menghuni hutan itu.

Usaha berterusan MNS dalam pemuliharaan Kompleks Hutan Belum-Temenggor diberi pengiktirafan tertinggi apabila terpilih sebagai penerima sulung Anugerah Merdeka bagi kategori Alam Sekitar yang diadakan julung kalinya Isnin lepas.

Merupakan inisiatif Petronas dengan kerjasama ExxonMobil dan Shell, hadiah wang tunai berjumlah RM500,000 beserta sebuah piala dan sijil disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Salleh yang menerimanya bagi pihak MNS berkata, hadiah wang itu diharap dapat digunakan sepenuhnya bagi MNS menjalankan kajian untuk menyelamatkan Hutan Temenggor dan kajian lanjut terhadap habitan burung enggang di Belum-Temenggor.

"Jika kami mempunyai dana lebih, MNS juga mahu membantu memulihara Hutan Simpan Ulu Muda di Kedah daripada aktiviti pembalakan.

Merupakan persatuan pencinta alam tertua di Malaysia, MNS yang ditubuhkan pada 1940 oleh sekumpulan warga Britain pada ketika itu, kini mempunyai 12 cawangan di seluruh negara dengan 4,000 anggota.

MNS juga menjalankan pelbagai usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di seluruh negara seperti Taman Negara Endau Rompin, Batu Caves dan Taman Laut di Redang dan Tioman. - Bernama

1 comment:

Mohamad Faizal Abdul Ralib said...

ada hati tak nak join bisnes dengan budak2 smsis2?

modal sekali jer.. rm850....