Thursday, January 8, 2009

Killing the Devil


In addition to bombs and missiles that have killed an ever increasing number of Palestinian civilians, Israel has dropped millions of flyers on the occupied, besieged Gaza Strip.


TEMAN-teman, saya tidak boleh menulis lebih awal kepada anda kerana bekalan elektrik terputus. Saya ingin menangis. Dr Nizar Rayan, profesor di Universiti Islam terbunuh, dibom bersama seluruh keluarga di dalam rumahnya.


"Dia seorang lelaki berani, enggan meninggalkan rumah walaupun menghadapi ancaman Israel. Prinsipnya ialah tidak gentar menghadapi ancaman, berjuang dengan penuh maruah atau mati sebagai seorang pejuang. Rumahnya dibom oleh empat roket. Tiga isteri dan lapan anak serta cucunya terbunuh.

"Hari ini, ledakan bom masih belum berhenti, malah semakin hebat. Waktu malam amat menggerunkan. Kami tidak mampu untuk tidur kerana ledakan demi ledakan dan cuaca sejuk yang mencengkam.

"Teman-teman, kami yang berada di Gaza kini hidup antara mereka yang terkorban, cedera, diselubungi rasa sedih, tidak bermaya dan kecewa, namun ramai yang masih optimis, berani, bersemangat. Hanya impian untuk mengecap kehidupan yang bebas dan bermaruah, terus menyelamatkan nyawa kami." - Salma Ahmed, 23, guru bahasa Perancis di Pusat Budaya Perancis Gaza.

Ini adalah antara e-mel diterima Pusat Pemantauan Palestin (Palestine Monitor) iaitu laman web khas yang diwujudkan pada Disember 2000, beberapa bulan selepas intifada kedua, sebagai saluran suara rakyat Palestin.

Salma adalah antara ribuan rakyat Palestin yang terperangkap di wilayah bergolak dan sehingga semalam, tentera Israel terus ganas meledakkan bom berangkai dan tentera mula memasuki daerah Semenanjung Gaza.

Keganasan yang tercetus semula di ambang tahun baru 2009, menggegarkan dunia. Dengan sokongan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat - yang dalam suasana peralihan kuasa Presiden daripada George W Bush kepada Barack Obama - tentera rejim Yahudi terus bertindak tanpa belas kasihan serta tidak menghiraukan protes masyarakat dunia, malah dengan lantang mencabar 'perubahan dunia' yang ingin dilaksanakan bakal Presiden kulit hitam AS yang pertama itu.

Ketika mata lebih tertumpu kepada angka korban yang meningkat lebih 560 orang dan 2,704 lagi cedera sehingga semalam sejak serangan dilancar 27 Disember lalu, kesengsaraan sebenar rakyat Palestin yang berada dalam wilayah Gaza jauh lebih mencengkam jiwa.

Gambar yang terpampang di media cetak dan elektronik sejak seminggu lalu sudah cukup untuk menceritakan penderitaan rakyat Palestin.

Anak-anak maut di pangkuan ibu bapa, mayat dikafan dengan wajah masih berdarah disembahyangkan ribuan manusia dan tanpa gentar, anak Palestin melukis wajah mereka dengan bendera Palestin, menunjukkan semangat yang belum luntur walaupun diasak keganasan melampau puak Yahudi.

Di sebalik tabir, muncul cerita penderitaan yang lebih menyayat hati. Christina Wadi, anak seorang doktor, diminta ayahnya tidak meninggalkan rumah dan menjauhkan diri dari tingkap, ketika si ayah bergelut menyelamatkan nyawa teman yang cedera di Hospital Shifa.

Mungkin disebabkan serangan bertalu-talu Israel, Christina diserang asma dan memerlukan suntikan kecemasan. Ketiadaan telefon dan kesukaran mendapat pengangkutan membuatkan gadis berusia 15 tahun itu meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital di mana ayahnya bekerja.

Serangan yang bermula sejak minggu lalu adalah paling menyayat hati dalam sejarah Palestin sejak Perang 1967.

Penganalisis, Dr Mustafa Barghouthi percaya ini 'hanya permulaan' kepada kempen untuk mewujudkan sebuah daerah keganasan di Semenanjung Gaza.

Beliau cuba merungkai persoalan mengenai pelbagai mitos yang sering diuar-uarkan Israel dan berharap penduduk dunia melihat jenayah perang yang terus dilakukan kaum Yahudi ini ke atas rakyat Palestin.

Mitos yang cuba diuar-uarkan kaum Yahudi ini kepada dunia ialah:

  • Israel mendakwa sudah menamatkan penjajahan di Semenanjung Gaza pada 2005 apabila memindahkan penempatan warganya dari kawasan pantai kecil di semenanjung itu. Namun hakikatnya, mereka tidak pernah menamatkan penjajahan ke atas Palestin, sebaliknya terus menguasai sempadan, ruang udara dan terusan air di Gaza.

    Malah, sejak 2006, Israel mengenakan sekatan dan kepungan di seluruh Semenanjung Gaza. Lebih dua tahun penduduk Gaza hidup dalam suasana hampir kebuluran, tanpa keperluan asas sewajarnya, terutama bekalan perubatan. Kepungan itu mencetuskan bencana kemanusiaan paling menyayat hati;

  • Israel mendakwa Hamas mencabul gencatan senjata dan menarik diri daripada perjanjian itu secara unilateral. Hamas menghormati gencatan senjata yang dipersetujui, kecuali beberapa kes ketika Israel melakukan pencabulan secara terang di Tebing Barat. Gencatan senjata terlerai dua bulan lalu apabila Israel membunuh beberapa rakyat Palestin, membuatkan Hamas bertindak balas.

    Sebaliknya, Israel tidak mematuhi perjanjian dipersetujui untuk menamatkan kepungan dan membenarkan bantuan kemanusiaan penting dibawa masuk ke Gaza. Daripada 450 trak yang dipersetujui dibenar memasuki sempadan setiap hari, pada hari yang mereka berasa murah hati, hanya lapan trak dibenarkan masuk. Sempadan ditutup hampir setiap masa.

    Dalam tempoh yang sepatutnya berlaku gencatan senjata, penduduk Gaza dipaksa hidup seperti binatang, menyebabkan 262 meninggal dunia kerana tidak menerima bantuan perubatan yang baik.

    Hari ini selepas beratus-ratus rakyat Palestin maut dan angkanya terus meningkat, Israel enggan mengadakan rundingan gencatan senjata. Mereka tidak kisah untuk mencipta keamanan seperti yang didakwa dan lebih jelas mereka kini berusaha untuk membuat perubahan regim;

  • Israel mendakwa ingin mencipta keamanan dengan rakyat Palestin. Sebelum melancarkan pembunuhan beramai-ramai terkini di Gaza, Israel sudah meningkatkan penjajahannya di Tebing Barat. Pada 2008, penambahan penempatan meningkat sehingga 38 tempat, seramai 4,950 rakyat Palestin ditangkap dan pusat pemeriksaan meningkat dari 521 kepada 699;

    Di luar skop rundingan damai, Israel membunuh 546 rakyat Palestin dan di kalangan mereka 76 kanak-kanak. Jumlah itu meningkat lebih buruk minggu lalu.

  • Israel mendakwa mereka bertindak kerana mempertahankan diri, tetapi hakikatnya mereka yang mencetuskan semua serangan;

  • Israel mendakwa sasaran mereka hanya tentera, malah tentera Yahudi terus menegaskan perkara yang sama walaupun imej wanita dan kanak-kanak maut dan berdarah terus dipaparkan oleh media dunia. Serangan mereka tidak terhad, malah hospital dan masjid tidak terkecuali.

  • Israel mendakwa mereka menyerang Hamas, bukan rakyat Palestin. Tetapi hakikatnya, ledakan peluru berpandu mereka tidak mengasingkan antara tentera Hamas dan rakyat Palestin. Israel sedar hakikat ini, begitu juga rakyat Palestin. Tetapi Israel juga sedar, walaupun tidak disebut secara lantang, betapa tindakan terbaru ini sebenarnya mengukuhkan lagi semangat Hamas dan rakyat Palestin;

  • Israel mendakwa Palestin adalah sumber keganasan. Rakyat dunia tidak perlu terus ditipu. Penjajahan Palestin sejak 1967 menyaksikan betapa tanah Palestin dirampas Israel dan ia menjadi akar umbi kepada keganasan berpanjangan sehingga hari ini. Keganasan ini boleh dihentikan dengan Israel memberi semula tanah, hak kerakyatan dan hak asasi kepada umat Palestin untuk hidup sebagai manusia merdeka.

    Bukan Hamas yang menguasai Tebing Barat. Hari ini rakyat Palestin hidup dalam kepungan Israel dan diserang tanpa sebarang belas ihsan.
"Tanah kami dirampas, hak kami dicabul, suami, isteri dan anak-anak kami dibunuh." Itulah luahan rakyat Palestin.

No comments: