By the declining day (1) Lo! man is a state of loss (2) Save those who believe and do good works, and exhort one another to truth and exhort one another to endurance (3) Qur'an, al Asr:103
Thursday, September 2, 2010
ROYAL BELUM
KOMPLEKS rimba Belum di utara Perak mempunyai dua komponen iaitu Hutan Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temengor dengan keluasan 300,000 hektar atau hampir empat kali keluasan Singapura.
Di tengah-tengahnya terletak Tasik Temengor yang diwujudkan oleh pembinaan empangan elektrik hidro TNB pada tahun 1975.
Keluasan Royal Belum yang terletak di utara Lebuh Raya Timur-Barat adalah 117,500 hektar. Di sini kegiatan membalak tidak lagi dibenarkan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak.
Royal Belum diwartakan sebagai Hutan Negeri pada bulan Mei, 2007. Ia adalah antara rimba hujan tropika tertua, terbesar dan terkaya kepelbagaiannya yang masih kekal di Planet Biru kita ini. Royal belum dianggarkan berusia 130 juta tahun.
DENGAN ciri-ciri yang luar biasa ini, kompleks rimba Royal Belum-Temengor bukanlah destinasi pelancongan biasa. Lebih tepat jika ia dianggap persada pertapaan dan pengembaraan mengenal diri dan menghayati keagungan ciptaan Allah.
Jadi, pada pandangan saya, setelah berulang kali melayari Tasik Temengor dan masuk ke hutan Royal Belum-Temengor, ia bukanlah destinasi anda jika anda tergolong dalam kategori berikut:
1. Memerlukan tilam empuk, tidak boleh lekang daripada TV flat screen dan bilik tidur berhawa dingin;
2. Tidak gemarkan hutan belantara dengan flora dan faunanya (disebut fona bukan fau-na) yang termasuk pacat, pelbagai macam serangga dan haiwan liar;
3. Takut kepada kegelapan dan bunyi-bunyi rimba yang pelbagai dan penuh mistik; dan
4. Kurang disiplin diri, suka membuat kotor, merokok di mana-mana saja dan gemar berkaraoke hingga awal pagi.
Pendek kata, kalau tuan dan puan bukan jenis yang sukakan alam semesta, kurang tahan lasak dan takut pacat serta serangga eksotik pelbagai warna dan rupa, maka kompleks rimba Royal Belum-Temengor bukanlah destinasi pilihan anda.
Tetapi kepada sesiapa sahaja yang mencintai alam semula jadi, kompleks rimba Royal Belum-Temengor adalah antara destinasi mutakhir yang wajib dilawati.
HUTAN rimba hujan tropika adalah sistem ekologi dan kepelbagaian biologi (bio-diversity) yang sangat menakjubkan, tetapi amat sensitif kepada pencerobohan luar, sama ada oleh manusia atau flora dan fauna dari luar.
Tumbuh-tumbuhan (flora) dan hidupan (fauna) dari luar boleh membinasakan flora dan fauna asal. Inilah yang sangat ditakuti oleh MNS, WWF, ahli sains, agensi-agensi penguatkuasa dan aktivis alam sekitar.
Saya dimaklumkan oleh seorang pemandu pelancong bahawa ada bukti ikan tilapia telah dilepaskan atau terlepas ke dalam Tasik Temengor.
Ikan tilapia, sebagai ikan jenis yang menetaskan anak dalam mulut (mouth breeder) boleh membiak dengan pantas dan bersifat omnivorous, iaitu makan daging dan tumbuh-tumbuhan.
Ciri-ciri ini menyebabkan ikan seperti tilapia menjadi ancaman kepada ikan residen seperti kelah, temoleh, sebarau, tengas dan jelawat.
Tanpa ancaman spesis yang diperkenalkan (introduced species) seperti tilapia, ikan-ikan air tawar dan air jernih seperti disebutkan di atas sudah pun terancam, malah mungkin pupus tanpa kawalan dan restocking, akibat tangkapan berlebihan.
Saya dimaklumkan ada peniaga luar yang secara diam-diam dan haram mengupah Orang Asli menjala dan memukat ikan-ikan ini kerana harganya yang sangat tinggi.
Antara projek perintis yang sedang dilakukan adalah menangkap, membiak dan melepaskan anak-anak ikan daripada spesis yang terancam ini serta menggalakkan pemancing rekreasi mengamalkan kaedah tangkap dan lepas (catch and release).
Realitinya, haiwan paling gagah dan paling banyak makan seperti gajah dan seladang tidak akan memusnahkan Royal Belum.
Tetapi saya sangat bimbang dan amat dukacita apabila ada ahli ekspedisi sendiri merokok ketika hiking dan membuang sisa plastik di merata tempat. Api boleh memusnahkan khazanah alam pemberian Allah ini dalam sekelip masa manakala sisa plastik tidak akan hancur hingga beratus tahun.
Jadi saya cadangkan agar kompleks Royal Belum-Temengor diisytiharkan “zon bebas rokok dan plastik” serta bilangan pelawat dihadkan kepada bilangan yang boleh ditampung oleh alam semula jadi.
BANYAK buluh dalam rimba Royal Belum. Saya cadangkan marilah kita melentur buluh dari rebungnya dengan menggesa agar ditubuhkan Briged Remaja Rakan Belum.
Anggota generasi muda inilah, khasnya di kalangan orang Asli yang mendiami bio-sfera Royal Belum-Temengor, akan mewarisi rimba belantara warisan sejagat ini. Justeru itu, usaha menjadikan masyarakat Orang Asli sebagai pemegang saham (stakeholder) utama Royal Belum amat dialu-alukan.
Sambil mempelbagaikan sumber pendapatan, Orang Asli yang arif mengenai hutan belantara boleh menjadi mata dan telinga kepada kerajaan, khasnya kepada agensi-agensi penguatkuasaan, dalam usaha menghalang pencerobahan luar.
Kesimpulannya, kita amat bernasib baik menjadi penerima anugerah Allah yang tidak ternilai harganya ini dan adalah kewajipan Fardu Kifayah kita menjaganya dengan sebaik yang terdaya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment