Saturday, October 6, 2012

RAKYAT TERIMA MANFAAT PELABURAN ASING


Setiap pelaburan asing yang diterima oleh kerajaan, limpahan manfaatnya akan dinikmati rakyat.

Jaminan itu diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang percaya limpahan itu dapat meningkatkan lagi taraf sosio ekonomi rakyat, terutamanya yang berada di sesebuah kawasan pelaburan itu.

DATUK SERI MOHD NAJIB TUN RAZAK / PERDANA MENTERI.
"Kerajaan akan mempertimbangkan bagaimana pelaburan yang diterima ini dapat memberi limpahan manfaat kepada rakyat. Manfaat dari segi peluang pekerjaan, perniagaan, peningkatan taraf sosio ekonomi dan tanggungjawab sosial korporat kepada rakyat setempat".

Perdana Menteri yang berada di Terengganu hari ini - merasmikan Majlis Pecah Tanah Loji Bio-Metionina dan Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer, Kerteh.

Projek bernilai dua bilion ringgit ini terletak atas tapak seluas 70 hektar.

Ia usahasama antara C.J Cheiljedang dari Korea dan platform biokimia Arkema dari Perancis, yang bakal beroperasi pada Disember tahun depan.

Projek bioteknologi pertama di dunia ini menggunakan proses penapisan dalam menghasilkan l-metionina, sejenis asid amino yang biasa digunakan dalam pembuatan makanan haiwan.

Loji ini diunjurkan mampu menjana pendapatan negara kasar 11.1 bilion ringgit menjelang 2020 dan 20 bilion ringgit dari segi nilai jualan.

Taman Biopolimer Kertih antara projek penting di wilayah ekonomi pantai timur.

Thursday, October 4, 2012

TERPEDAYA SINDIKET GORES DAN MENANG



Disangka menang sebuah kereta bernilai 230 ribu ringgit, rupanya hanya sebuah mesin urut kaki dan tilam kesihatan berisi batu jed yang diperolehi.

Bukan itu sahaja, sepasang suami isteri turut kerugian RM 6,800 gara-gara terpedaya dengan sindiket gores dan menang.

Pasangan suami isteri, Anuar Long dan Rofidah Abu Bakar mendakwa mereka didatangi dua lelaki di tempat letak kereta sebuah pasaraya.

Mereka kemudian diminta membuat cabutan dan terus diberitahu telah memenangi hadiah sebuah kereta.

Bagi menuntut hadiah, mereka dibawa ke sebuah pejabat untuk melunaskan bayaran bagi mendapatkan hadiah yang dijanjikan.

Sebaik bayaran dibuat, bukan sebuah kereta yang dimenangi.

Sebaliknya hanya sebuah tilam kesihatan berisi batu jed dan satu mesin urutan kaki.

ROFIDAH ABU BAKAR / MANGSA
"Dia kata bila scan dapat hadiah tu je. Duit wat masuk doh kata nak bagi no siri nak hantar balik saya bagi dia RM 6,800 bagi kat dia dapat lembek satu tapak kaki satu tak rasa patut langsung dengan harga yang saya bayar tak patut langsunglah".

ANUAR LONG / MANGSA 
"Embek ni saya tak mahu dia kata tak pa saya ada kawan saya boleh beli lembek ni dengan harga 25 dan 26 ribu ada orang sanggup beli saya rasa tak percaya harga sebegitu saya tinggal, lembek sini ada orang beli saya datang balik tak apalah tak dapat 25 ribu dan 26 ribu janji dapat duit saya tapi dia kata tak boleh nanti pengurus saya marah".

Menyedari ditipu, laporan polis kemudian dibuat.

IBADAH KORBAN DI MASJID DAN SURAU KEKAL



Ibadah korban di negara ini yang dilakukan di masjid dan surau akan kekal, walaupun ada peraturan baru yang ditetapkan oleh kerajaan Australia, terhadap ternakan yang dibawa masuk dari negara itu.

Jaminan itu diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

DATUK DR ABDUL AZIZ JAMALUDDIN / KETUA PENGARAH JAB PERKHIDMATAN VETERINAR
"Syaratnya pun tidak banyak berbeza dan tidak bercanggah dengan apa amalan kita sekarang. Cuma masalah dia ada keperluan untuk kita menaik-taraf premis dan juga pusat penyembelihan kita".

Peraturan itu pula hanya berkuatkuasa ke atas ternakan yang diimport dari Australia.

Sedangkan ternakan untuk korban lazimnya mengambil bekalan dari dalam negara atau diimport dari Thailand.

Namun demikian, sebagai usaha menaik-taraf proses penyembelihan di Malaysia, satu garis panduan yang digubal bersama Jakim akan dilancarkan 18 Oktober ini.

Antara perkara yang disarankan - tempat penyembelihan khusus dan lengkap di masjid mahupun surau.

DATUK DR ABDUL AZIZ JAMALUDDIN / KETUA PENGARAH JAB PERKHIDMATAN VETERINAR
"Tempat penyembelihan itu sendiri mesti menepati satu kriteria yang boleh menjamin keselamatan ternakan itu sendiri. Kita lihat amalan-amalan yang lepas tu dia orang begitu mudah sekali hendak menyembelih, sediakan lubang dan sebagaimana dan terus disembelih, jadi banyak isu".

BINA RUMAH PR1MA



Tanah milik kementerian yang tidak dibangunkan - akan dibina dengan rumah mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia, PR1MA.

Jemaah menteri pada mesyuarat minggu lalu kata Timbalan Perdana Menteri - mengarahkan kementerian-kementerian untuk menyenaraikan tanah milik mereka yang tidak dibangunkan bagi tujuan itu.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN/ TIMBALAN PERDANA MENTERI
"Macam kementerian saya, kita bina sekolah tapi sesetengah kawasan itu sudah banyak sekolah, ada tapak sekolah yang tak digunakan dan di situ mungkin nak dicadang dibina (rumah mampu milik) maka kita sedia untuk serahkan kepada PR1MA."

Kerajaan kata Tan Sri Muhyiddin akan menentukan kawasan yang akan dibangunkan PR1MA untuk pembinaan rumah mampu milik berharga 300 ribu ringgit ke bawah.

Langkah itu bagi memberi peluang golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah yang harganya meningkat tinggi terutama di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

PR1MA menerima peruntukan 500 juta ringgit daripada Bajet 2013 bagi membina 50 ribu unit rumah di bandar-bandar utama.

Tuesday, October 2, 2012

SUAMI HADAPI TUDUHAN CEDERA ISTERI



Kes isteri yang memuat-naik rakaman visual didera oleh suaminya ke dalam internet 30 Ogos lalu.

Siang tadi, lelaki terbabit dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya.

Tertuduh, Chiu Foo Keong tiba di mahkamah kira-kira pukul sembilan pagi ditemani peguam dan ahli keluarga.

Dia dituduh mengikut seksyen 323, Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, dia yang juga pengusaha butik didakwa mencederakan isterinya, Amanda Fong Kim Yen, 19 tahun.

Kesalahan dilakukan di premis butiknya di Taman Ipoh Selatan, pukul empat petang, 23 Ogos lalu.

Dia bagaimanapun tidak mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan ke atasnya.

31 Oktober depan - tarikh perbicaraan.

SISWA TIDAK TERMASUK DALAM KATEGORI PENERIMA BR1M



Pelajar institusi pengajian tinggi yang berumur 21 tahun ke atas tidak termasuk dalam kategori penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0.

Golongan itu bagaimanapun layak menerima baucar buku 1Malaysia bernilai 250 ringgit yang diberi buat kali kedua.

Pemberian itu akan memanfaatkan 1.3 juta pelajar di seluruh negara, membabitkan peruntukan 325 juta ringgit.

Penjelasan itu dinyatakan oleh pejabat Menteri Kewangan dalam satu kenyataan susulan beberapa laporan akhbar hari ini berhubung pemberian BR1M 2.0, yang menyebut bahawa golongan siswazah dan penganggur yang tidak mempunyai pekerjaan dan berusia 21 tahun ke atas, layak menerima bantuan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Bajet 2013 pada Jumaat lalu, memaklumkan bahawa di bawah projek BR1M 2.0, hanya isi rumah berpendapatan bulanan 3,000 ringgit ke bawah layak menerima bantuan 500 ringgit.

Bantuan kali ini turut dipanjangkan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi 2,000 ringgit sebulan.

Mereka layak menerima bantuan 250 ringgit.

Bantuan yang melibatkan peruntukan 3 bilion ringgit dan mula dibayar awal tahun depan, dan akan memberi manfaat kepada 4.3 juta isi rumah serta 2.7 juta individu bujang.

PERHIMPUNAN PERTAHAN AKIDAH UMMAH



Jaringan Muslimin Pulau Pinang JMPP akan mengadakan perhimpunan silaturrahim secara besar-besaran bagi mewujudkan kesefahaman dalam penyatuan ummah dan mempertahankan akidah.

Perhimpunan itu akan membincangkan cara-cara menangani anasir luar yang berniat jahat terhadap agama Islam, khususnya gerakan memurtadkan orang Islam yang didakwa semakin berleluasa di negeri terbabit.

MOHAMED HAFIZ NORDIN / PENYELARAS JMPP
"Kumpulan ini kayuh basikal berpakaian formal long sleeve macam pergi pejabat, tapi dah masuk ke kampung untuk sebarkan agama Kristian, jadi kita perlu se-agresif itu kalau mereka berani ketuk pintu rumah kampung nak jual bible bahasa Arab, tapi bagi percuma untuk tarik mereka, ini satu ancaman yang dahsyat".

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran JMPP yang merupakan gabungan 35 NGO Islam di negeri berkenaan, petang tadi.

Perhimpunan itu dijadualkan berlangsung pada 28 Oktober ini, tetapi lokasinya akan dimaklumkan kemudian.

Ia bertemakan "Menjana Pengorbanan, Mendepani Rintangan dan Membina Gelombang Kebangkitan".

Ujarnya, gerakan memurtadkan orang Islam itu dikesan di kawasan Seberang Perai, khususnya di Butterworth.

Justeru beliau menjemput umat Islam menyertai perhimpunan silaturrahim ummah bagi bersatu menghadapi keadaan yang membimbangkan itu.