Tuesday, October 2, 2012

SISWA TIDAK TERMASUK DALAM KATEGORI PENERIMA BR1M



Pelajar institusi pengajian tinggi yang berumur 21 tahun ke atas tidak termasuk dalam kategori penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0.

Golongan itu bagaimanapun layak menerima baucar buku 1Malaysia bernilai 250 ringgit yang diberi buat kali kedua.

Pemberian itu akan memanfaatkan 1.3 juta pelajar di seluruh negara, membabitkan peruntukan 325 juta ringgit.

Penjelasan itu dinyatakan oleh pejabat Menteri Kewangan dalam satu kenyataan susulan beberapa laporan akhbar hari ini berhubung pemberian BR1M 2.0, yang menyebut bahawa golongan siswazah dan penganggur yang tidak mempunyai pekerjaan dan berusia 21 tahun ke atas, layak menerima bantuan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Bajet 2013 pada Jumaat lalu, memaklumkan bahawa di bawah projek BR1M 2.0, hanya isi rumah berpendapatan bulanan 3,000 ringgit ke bawah layak menerima bantuan 500 ringgit.

Bantuan kali ini turut dipanjangkan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi 2,000 ringgit sebulan.

Mereka layak menerima bantuan 250 ringgit.

Bantuan yang melibatkan peruntukan 3 bilion ringgit dan mula dibayar awal tahun depan, dan akan memberi manfaat kepada 4.3 juta isi rumah serta 2.7 juta individu bujang.

No comments: