Tuesday, June 2, 2009

Akil Hayy dan Wahheda






Saya selitkan serba ringkas di sini ceramah Akhil yang boleh membuatkan kita tersenyum simpul dan siapa tahu ada hukum karma di sebaliknya: “Ni tengah kecoh, ginilah Malaysia tuan-tuan yang kita sibuk, surat khabar. Adakah benar berlaku adegan cium Adam dengan Misha dalam Main-Main Cinta? Ini cerita yang disensasikan. Kisah perjuangan ulama ni kelas berapa kita tidak tahu pada pemikiran mereka.”

Sindiran Akhil ketika zaman ekstremnya sebagai penceramah agama dulu, sebagai orang media terasa juga pedihnya. Seolah-olah kita orang media tidak menyokong ulama, walhal akhbar di tanah air sedia maklum tanggung jawab terhadap agama, terutama dengan menyisip pelbagai kolum agama setiap Jumaat.

Di RAP, Harian Metro pada setiap Jumaat, kita beri peluang artis wanita yang tidak bertudung mengenakan tudung. Jika dinilai golongan pendek akal, nampak seperti hipokrit, tetapi siapa tahu dek manisnya artis wanita itu bertudung, lambat laun dia akan bertudung juga dan boleh jadi ikutan di kalangan peminatnya.

Jika di Bachok dulu Akhil mengajuk Adam, sekarang saya kira Adam dan golongan wartawan yang nakal sikit boleh mengajuk kembali Akhil: “Aha tak tahu, semua orang cari ente!”

Kalau tidak kerana rakan wartawan dapat bersemuka dengan Akhil kelmarin di Pusat Penyiaran Astro ketika menjayakan program Kalam Suci sehingga beliau meluahkan rasa kesal kerana isterinya mendedahkan masalah rumah tangga mereka kepada media, nak saja saya samakan kehilangan Akhil dengan pemimpin ‘kerajaan langit’, Ayah Pin. Bezanya, Ayah Pin diburu pihak berkuasa.

Empat tahun berlalu, namun pihak berkuasa masih mencari-cari ke mana hilangnya ayah Pin. Pihak wartawan hiburan pula seminggu dua ini terkial-kial mencari ke mana lesapnya Akhil.

Dua insan sama jantina berlainan pentas, namun imej agama dinilai lebih kurang sama. Cuma Akhil yang sinonim dengan jolokan ustaz ‘tidak menyesatkan’ orang berbanding Ayah Pin, namun harus diingat, kehilangannya turut membuatkan ribuan jiwa tertanya-tanya, hidup atau tidak ustaz muda ini?

Sekarang kita tertanya-tanya antara Akhil dan isterinya, Maizawati Zainal, 33, siapa yang benar? Kemelut rumah tangga dihadapi Akhil dengan isteri bagi saya biasa, tetapi ia menjadi luar biasa dan sensasi kerana adanya ‘orang ketiga’ iaitu penyanyi Waheeda ‘wasinni’.

Kes Akhil ni kira ‘sepusat sepusing’ juga dengan cinta lara tiga segi antara pelakon Norman Hakim, Memey (Suhaiza Suhaimi) dan Abby Abadi penghujung tahun lalu.

Bezanya Norman, Memey dan Abby tidak berimej agama berbanding Akhil, Maizawati dan Waheeda.

Yang ‘best’nya, ada cabar mencabar antara Maizawati dengan Waheeda, sementara ‘ustaz rebutan’ Akhil pula cuma akan mendedahkannya apabila kesnya dirujuk di Mahkamah Syariah pada 2 Jun ini.

Dalam insiden ini, sukar menidakkan golongan ibu dan kakak pasti bersimpati pada Maizawati kerana suaminya sekian lama tidak pulang ke rumah menjenguk enam anaknya. Usahkan Akhil, mana-mana suami pula bengang isteri tiba-tiba mendedahkan segalanya di media tanpa berbincang dulu.

Sebaliknya, kita faham Maizawati seperti putus harapan untuk bersemuka dengan suami lalu jalan pintas paling mudah adalah di media. Pena wartawan memang boleh membuatkan mangsa meloncat!

Tidak mudah menjadi insan berimej seperti Akhil, sebabnya setiap kata-katanya perlu berwaspada supaya llidah tidak tergelincir. Dalam satu kenyataan, Akhil menuding jari bukan dia melabelkan dirinya dengan perkataan ustaz, namun Akhil terlupa puluhan CD ceramahnya dulu tertera perkataan ustaz.

Sejak timbul kontroversi rumah tangga, membuak-buak jolokan ustaz ‘disedahkan’ pada Akhil — ustaz celup, ustaz rock, ustaz madu dua, tetapi yang lawaknya ada juga menyebut Akhil ustaz rebonding.

Bukan mahu menempelak, tetapi akibat insiden tengok wayang bersama Waheeda yang digembar-gemburkan media, sedikit sebanyak ramai hilang kepercayaan pada Akhil, bila mana ada yang meluahkan rasa pelik dan lucu, naik teksi bersama tapi tengok wayang lain-lain.

Natijahnya dalam melayari dunia seni, seandainya berdepan kontroversi, bercakaplah dengan setulus hati, sebabnya jika suka berdolak-dalik, kelak dikhuatiri terjerat diri sendiri.

No comments: