Friday, August 6, 2010

SALAHUDDIN AL AYYUBI


Pada setiap 04 Julai, Amerika akan merayakan hari kemerdekaan mereka. Ia berdasarkan sejarah kononnya perisytiharan kemerdekaan Amerika (Declaration of Independence) yang dibuat oleh Kongres Amerika pada 04 Julai 1776.

Setiap tahun pada 04 Julai, rakyat Amerika meraikan kemerdekaan ini dengan pesta, bunga api, tarian dan persembahan. Dan ia juga adalah hari cuti umum bagi Amerika.


Namun bagi kita umat Islam, 04 Julai juga adalah tarikh keramat dalam sejarah moden Islam. Setelah seribu tahun lebih Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa berada dibawah pemerintahan Islam (sejak zaman Saidina 'Umar r.a), ia jatuh ke tangan kuffar pada tahun 1099. Setelah 88 tahun dibawah pemerintahan tentera salib, akhirnya muncul wira Islam moden Sultan Salahuddin Al Ayubi.

Sultan Salahuddin Al Ayubi adalah seorang Kurdis yang dilahirkan di Tikrit daripada keluarga Najm Adden Ayyub (Tikrit adalah sebuah wilayah didalam Iraq sekarang, kebetulan tempat kelahiran Allahyarham Saddam Hussein). Nama sebenar Salahuddin ialah Yussuf bin Ayyub (1137-1193).

Sebenarnya, sejarah kegemilangan pembukaan semula Kota Baitul Maqdis dan pembebasan Masjidil Aqsa daripada kuffar salibiah oleh Sultan Salahuddin bermula pada 04 Julai 1187.

Pada tarikh tersebut, Sultan Salahuddin bersama tenteranya. (kebanyakannya umat islam Kurdish yang bergerak daripada Dimasyq/ Damsyik)
telah bertempur dalam satu peperangan besar di Hattin, menentang tentera salib dibawah pemerintahan Guy de Lusignan dan Raymond of Tripoli.

Sebelum pertempuran Hattin, Sultan Salahuddin berjaya merobohkan benteng pertahan tentera salib di Kota Kerak (Jordan) dibawah pemerintahan Raynold de Chatillon dan tentera The Templars.


Dalam pertempuran Hattin, Raynold dan Guy telah ditangkap oleh tentera Islam. Sultan Salahuddin sendiri telah memancung Raynald tetapi tidak menghukum Guy de Lasagna. Kejayaan menumpaskan tentera salib di Hattin pada 04 Julai 1187 telah mengubah haluan sejarah dan membuka peluang kepada Sultan Salahuddin untuk membebaskan Baitul Maqdis yang berjaya dibuka semula tiga bulan selepas itu iaitu pada 02 Oktober 1187.

Bagi yang berminat dengan kisah ini, bolehlah menonton filem "The Kingdom of Heaven" lakunan Orlando Bloom dan Ghassan Massoud.


Oleh itu, apabila tiba tarikh 04 Julai, janganlah kita terikut-ikut nak mengingat hari kemerdekaan Amerika, Tetapi ingatlah kepada kejayaan Sultan Salahuddin Al Ayyubi memenangi pertempuran Hattin dan sekaligus berjaya membuka semula Kota Baitul Maqdis dan membebaskan Masjidil Aqsa.

Saya terkenang kata-kata Sultan Salahuddin semasa ditanya oleh seorang pegawainya, "ALLAH sentiasa bersama saya kerana saya sentiasa bersama ALLAH". Sultan Salahuddin seorang yang sangat bertaqwa, sangat takutkan ALLAH, dan sentiasa mendirikan solat malam. Tidak pernah merasa dirinya hebat, sentiasa bertawaddhuk serta zuhud, dan walaupun beliau sendiri bukan seorang agamawan ataupun ulama', tetapi sentiasa mengambil nasihat ulama' dan memastikan ulama' selalu disekelilingnya.

Dalam mencapai cita-cita memartabatkan Islam, Sultan Salahuddin langsung tidak berkompromi dengan mereka yang memperkudakan Islam. Malahan sebelum memulakan ekspedisi membuka Kota Baitulmaqdis, Sultan Salahuddin terlebih dahulu menghapuskan semua pemimpin dan pemerintah beragama Islam tetapi tidak hidup mengikut Islam.

Dan Sultan Salahuddin cukup yakin dengan bantuan ALLAH, sebab itu beliau langsung tidak bersekongkol dengan mana-mana musuh Islam, apatah lagi dari golongan kuffar. Beliau yakin Islam boleh mencapai kejayaan dengan sendiri, sebagaimana Rasulullah boleh mencapai kejayaan dalam perang Badar tanpa bantuan kuffar walau senafas. Walaupun tidak pernah bersekongkol dengan kuffar, namun nama Sultan Salahuddin sangat dihormati dan digeruni di Barat, yang mengenali beliau dengan nama Saladin.


Sultan Salahuddin Al-Ayubbi wafat pada 04 Mac 1193 di Kota Damsyik. Apabila peti simpanan Salahuddin dibuka untuk membiayai upacara pengebumiannya, mereka mendapati ia tidak cukup (diriwayatkan Sultan Salahuddin hanya meninggalkan sekeping wang emas dan empat wang perak semasa kematiannya. Ada juga riwayat yang menyebut wang itu henyalah wang 5 Dinar) . Sultan Salahuddin telah memberikan hampir kesemua hartanya kepada rakyat-rakyatnya yang miskin. Makamnya yang terletak di Masjid Ummaiyah, Damsyik merupakan tumpuan tarikan pelancong yang terkenal dan sering dikunjungi umat Islam di seluruh dunia.

Alangkah baiknya jika dapat umat Islam mengambil iktibar daripada perjuangan Sultan Salahuddin Al Ayyubi ini

No comments: