KUALA LUMPUR: Dua orang pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan perbincangan dengan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, kira-kira pukul 11.40 pagi ini, setelah lebih dua jam bekas Mufti Perlis itu menunggu ketibaan mereka.
Sesi perbincangan di antara dua pegawai tersebut dengan Mohd Asri termasuk enam peguamnya memakan masa kira-kira 45 minit.
Menurut salah seorang peguamnya, Zulkifli Che Yong, kedua-dua belah pihak bersepakat untuk menukarkan bon jaminan terdahulu iaitu pertuduhan di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor, kepada satu perjanjian yang baru di mana Mohd Asri mungkin dipanggil oleh JAIS untuk siasatan lanjut.
"Bila saya periksa dengan dua pegawai JAIS itu, tiada pendakwaan dibuat atau difailkan di mahkamah. Oleh sebab itu pertuduhan terdahulu dibatalkan dan akan digantikan dengan satu perjanjian baru untuk menyiasat Dr.Asri.
"Namun begitu, kami kesal dengan apa yang berlaku," kata Zulkifli yang ditemui di perkarangan mahkamah sejurus berakhirnya perbincangan tersebut.
Dalam pada itu, ditanya bilakah beliau akan disoalsiasat oleh JAIS, Dr Asri berkata:
"Bila-bila saja apabila dihubungi. Tetapi cara saya ditangkap seolah-olah penjenayah besar."
Bekas mufti itu dilihat meninggalkan perkarangan mahkamah sekitar pukul 12.30 tengah hari untuk menemui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Baharom di Hotel Putra, hari ini.
Sementara itu, dua orang pegawai JAIS tersebut enggan mengulas tentang perbincangan yang dibuat sebentar tadi.
Mereka bagaimanapun berkata, satu sidang media akan diadakan oleh JAIS dalam masa terdekat ini.
Dr Asri ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tengah malam tadi, namun dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika Mohd Asri memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.
No comments:
Post a Comment