Jakim: Asri palsukan kelulusan Syariah
KUALA LUMPUR 2 Nov. - Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin didakwa memalsukan kelayakannya dalam bidang syariah di peringkat ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab/Syariah dari Universiti Jordan.
Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zain AlGhari mendedahkan, berdasarkan pemeriksaannya, bidang pengkhususan Asri hanya melibatkan Bahasa Arab dan Sastera.
"Universiti Jordan tidak menawarkan dua pengkhususan dalam satu ijazah. Sekiranya seseorang itu berkelulusan syariah, minor pengajian biasanya melibatkan bidang berkaitan seperti 'fiqh wa usul'.
"Pengajian Bahasa Arab dibenarkan untuk mengambil minor Syariah tetapi hanya sebagai subjek elektif.
Sekiranya ia diambil sebagai elektif, maka ia tidak dikira sebagai pelajar syariah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan Mohd. Asri selepas beliau menyampaikan kuliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay semalam.
Penahanan Mohd. Asri pada pukul 12 tengah malam itu disebabkan beliau menyampaikan kuliah tanpa tauliah.
Dalam pada itu, Zamihan berkata, tindakan JAIS adalah berlandaskan Akta Kesalahan Syariah yang diguna pakai di seluruh negeri di bawah kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri.
Menurutnya, kebenaran mengajar agama di seluruh negeri memerlukan pentauliahan bagi menjamin keharmonian pegangan agama umat Islam di negara ini.
"Tidak kira seseorang itu professor sekalipun, dia perlu memohon dan menghadiri temu duga yang dijalankan oleh pihak agama Islam negeri," katanya.
Beliau turut mendakwa, pendekatan Asri banyak menggunakan metodologi fahaman Wahabi iaitu sayap dalam Islam yang memahami ajaran agama secara ekstrem.
Menurutnya, golongan tersebut tidak mengikut pendekatan mazhab yang diamalkan di negara ini.
"Bacaan talkin, tahlil, wirid, qunut dan bacaan surah Yasin pada malam Jumaat semuanya dikatakan bidaah sekali gus mengelirukan masyarakat di negara ini.
"Selain itu, kebanyakan hujahnya juga banyak bertentangan dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya.
Berikut jawapan Dr Asri:
Dr Asri: Tindakan pegawai JAKIM menuduh saya membuat sijil palsu amat hina dan jijik. Seakan tidak waras dan berfikir panjang. Masakan UIA, USM membenarkan saya menyambung Ph.D dan menjadi pensyarah jika sijil saya palsu.
Saya sendiri rasa amat lekeh untuk jawab tuduhan yang seperti ini. Cukuplah dengan rakyat Malaysia melihat gambar sijil yang disertakan ini.
Persoalannya, apakah JAKIM di belakang konspirasi ini? Jika JAKIM terlibat, nanti orang akan tanya apakah terdapat mereka dari Kerajaan Pusat juga terlibat? JAKIM jangan burukkan nama Kerajaan Pusat!
No comments:
Post a Comment