Friday, November 6, 2009

PANDANGAN PERTENGAHAN DR ASRI

Antara soal tarikan, kewibawaan dan tauliah, berita penahanan bekas mufti ini membangkitkan rasa keliru, tidak puas hati dan perbalahan antara sesetengah pihak.

AWAL minggu lalu, tumpuan kira-kira 200 tetamu yang hadir ke satu majlis ilmu terganggu apabila puluhan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak menahan bekas mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ekoran menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah. Berita penangkapan ulama itu bukan sahaja mendapat liputan meluas akhbar tempatan bahkan mencetuskan pelbagai kontroversi hingga menyebabkan ramai pihak ingin tampil menyuarakan pendirian mereka berhubung isu penangkapan itu.

Ada segelintir berpendirian tindakan itu wajar malah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan penceramah perlu memiliki tauliah kerana ia dianggap sebagai instrumen wajib yang perlu ada dalam memastikan setiap ceramah, khutbah serta kuliah yang disampaikan selaras dengan tuntutan agama Islam.

Namun, ada juga suara-suara yang menganggap tindakan JAIS itu kurang wajar bahkan menyifatkan ia sebagai tindakan luar daripada kebiasaan sebuah jabatan agama memandangkan Asri merupakan seorang ahli akademi dan bekas mufti.

Berpeluang bertemu empat mata dengan pemegang ijazah kedoktoran dalam pengajian al-Quran dan Sunnah beberapa jam selepas ditahan, banyak perkara yang ingin beliau luahkan kepada Jurnal dengan harapan ia dapat membebaskan pandangan serong masyarakat terhadap beliau ekoran isu penangkapan itu.

“Alhamdulillah, saya tahu, ia adalah satu ujian. Sesungguhnya sebelum ini saya memang ada sedikit persediaan dari segi perasaan dan semangat untuk menghadapi perkara ini.
“Saya juga maklum, perkara ini (penangkapan) boleh berlaku pada bila-bila masa. Saya bersyukur, walaupun ada cubaan secara terang-terangan untuk menganiaya dan mengaibkan saya, saya masih menerima sokongan dan kata-kata semangat daripada pelbagai pihak,” tutur Asri memulakan bicara.

Soal tauliah
Bercerita lanjut mengenai kaitan penangkapan beliau yang dikata tiada tauliah, beliau menegaskan, seorang yang bertaraf mufti, berpengajian tinggi sehingga memiliki ijazah kedoktoran di bidang pengajian al-Quran dan kepakaran Hadis sesuka hati diperlakukan sama seperti orang yang tidak berilmu.

“Soal tauliah sepatutnya tidak timbul. Bagi saya ia adalah perkara yang pelik. Saya adalah seorang bekas mutfi, saya juga mempunyai kelulusan dalam bidang pengajian agama Islam, malah saya turut mengajar pelajar-pelajar sarjana dan kedoktoran di universiti awam, tiba-tiba saya dikatakan tidak ada tauliah. Adakah saya, seorang ahli akademik dan bekas mufti perlu minta sedekah untuk tauliah ini?

“Kalau saya pohon tauliah sekalipun, adakah JAIS akan menganugerahkannya kepada saya, sedangkan sewaktu saya bergelar Mufti Pelis, saya adalah satu-satunya mutfi yang tidak dibenar memberi ceramah, kuliah dan mengajar di Selangor.

“Saya masih tertanya-tanya, apakah garis panduan yang JAIS tetapkan bagi membolehkan saya mendapatkan tauliah itu. Selain saya, ramai lagi pensyarah universiti awam yang bertahun-tahun mengajar PhD dan sarjana di universiti awam memohon tauliah, tapi tak dapat. Mereka mahukan kelulusan yang bagaimana sebenarnya?

“Dalam perkara ini, JAIS perlu gubal garis panduan sebenar atau perbaharui peraturan lapuk supaya memudahkan seseorang yang layak untuk menjadi pensyarah atau mengajar agama,” ujarnya.

Tambah Asri, tindakan JAIS itu bukan hanya mengundang rasa kurang senang di kalangan masyarakat Malaysia malah ia juga mampu mewujudkan keresahan lebih-lebih lagi apabila ada pihak-pihak yang mengaitkan penangkapan itu dengan ajaran wahabi walaupun JAIS menegaskan penangkapan itu berpunca daripada isu tiada tauliah.

“Isu ini sudah jadi isu nasional. JAIS juga pastinya sudah maklum mengenai implikasi terhadap penangkapan ini dan persepsi masyarakat kepada mereka.

“Sudah pasti ada yang berfikir, apabila seorang bekas mufti itu ditangkap ketika memberi ceramah agama, apakah dia membawa ajaran sesat? Adakah dia mengajar sesuatu yang menyimpang daripada landasan akidah Islam sebenar? Daripada suara-suara itu ada juga yang mengaitkannya dengan ajaran Wahhabi.

“Saya tidak tahu apa makna wahhabi. Apabila ada yang mengaitkan saya dengan Wahhabi, wujud tanda tanya dalam diri saya. Adakah jika saya berbeza pandangan dengan golongan agama lain itu dikira Wahhabi?,” jelasnya penuh tanda tanya.

Berbeza bukan sesat
Menurutnya, Islam adalah agama yang luas dan mempunyai pelbagai ruang pandangan. Malah, sesetengah pihak tidak boleh menjadikan perbezaan itu sebagai satu perbezaan yang besar sehingga membenarkan tindakan yang tidak masuk akal diambil.
Malah, tambahnya lagi, tidak salah sekiranya penganut itu mempunyai pelbagai pandangan mengenai sesuatu perkara itu asalkan mereka tidak mencerca Allah serta Rasul dan melakukan tindakan ganas serta ekstrem.

“Kalau pandangan kita tidak sama, itu tidak bermakna sesat. Zaman ini bukan zaman batu. Zaman ini, maklumat ada di hujung jari. Dengan capaian Internet, masyarakat boleh dapat bermacam pengetahuan dan pandangan.

“Bagi golongan agama, jangan lagi berfikir yang barang siapa banyak bertanya lemah iman, pepatah itu sudah tidak relevan lagi. Ungkapan ‘awak kena dengar saya, kalau tak dengar, sesat!’, pun sudah tak boleh digunakan.

“Kita tidak boleh halang orang daripada berfikir. Saya percaya, sesuatu pemikiran apabila ia dilontarkan dalam masyarakat ia tak dapat dihapuskan melainkan dengan pemikiran yang kukuh.
“Pemikiran juga tak boleh dibunuh dengan kuasa, tetapi dengan fikiran. Ia kaedah dan disiplin hidup dalam dunia ini,” tegasnya.

Jelas beliau, dalam sistem demokrasi yang dipraktikkan di negara ini, tiada masalah sekiranya ada orang yang ingin guna cara pemikiran lama bahkan jika mereka berfikir secara neotradisionalis pun tidak mengapa, tetapi jangan menghalang orang lain berfikir dengan cara yang lebih moden.

“Di kalangan kita, sudah pasti akan wujud pandangan yang berbeza mengenai sesuatu perkara. Ada yang berfikir secara begitu, ada juga yang berfikir secara begini.

“Jika ia tidak menyeleweng daripada akidah Islamiah, ia tidak salah malah itu akan melahirkan kerencaman pemikiran dalam masyarakat,” katanya yang menolak pendapat mengatakannya seorang yang berpandangan keras.

“Saya tidak tahu apakah ada pihak yang mengklasifikasikan saya sebagai lantang atau ekstrem. Saya selalu memberi pandangan pertengahan dan sederhana dalam banyak perkara sehingga ada yang anggap saya liberal,” ujarnya yang mengakui tidak akan serik untuk berceramah lagi selepas ini.

No comments: