Tuesday, November 3, 2009

JAKIM TERLIBAT FITNAH DR ASRI?


Jakim: Asri palsukan kelulusan Syariah

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin didakwa memalsukan kelayakannya dalam bidang syariah di peringkat ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab/Syariah dari Universiti Jordan.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zain AlGhari mendedahkan, berdasarkan pemeriksaannya, bidang pengkhususan Asri hanya melibatkan Bahasa Arab dan Sastera.

"Universiti Jordan tidak menawarkan dua pengkhususan dalam satu ijazah. Sekiranya seseorang itu berkelulusan syariah, minor pengajian biasanya melibatkan bidang berkaitan seperti 'fiqh wa usul'.

"Pengajian Bahasa Arab dibenarkan untuk mengambil minor Syariah tetapi hanya sebagai subjek elektif.

Sekiranya ia diambil sebagai elektif, maka ia tidak dikira sebagai pelajar syariah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan Mohd. Asri selepas beliau menyampaikan kuliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay semalam.

Penahanan Mohd. Asri pada pukul 12 tengah malam itu disebabkan beliau menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

Dalam pada itu, Zamihan berkata, tindakan JAIS adalah berlandaskan Akta Kesalahan Syariah yang diguna pakai di seluruh negeri di bawah kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri.

Menurutnya, kebenaran mengajar agama di seluruh negeri memerlukan pentauliahan bagi menjamin keharmonian pegangan agama umat Islam di negara ini.

"Tidak kira seseorang itu professor sekalipun, dia perlu memohon dan menghadiri temu duga yang dijalankan oleh pihak agama Islam negeri," katanya.

Beliau turut mendakwa, pendekatan Asri banyak menggunakan metodologi fahaman Wahabi iaitu sayap dalam Islam yang memahami ajaran agama secara ekstrem.

Menurutnya, golongan tersebut tidak mengikut pendekatan mazhab yang diamalkan di negara ini.

"Bacaan talkin, tahlil, wirid, qunut dan bacaan surah Yasin pada malam Jumaat semuanya dikatakan bidaah sekali gus mengelirukan masyarakat di negara ini.

"Selain itu, kebanyakan hujahnya juga banyak bertentangan dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya.


Berikut jawapan Dr Asri:

Bukti sijil Sarjana Muda Kepujian daripada University Of Jordan yang menunjukkan pengkhususan Dr Mohd Asri dalam Bahasa Arab dan Sastera serta Syariah Islamiyyah. Ia sekali gus bercanggahan dengan tuduhan pegawai JAKIM Zamihan Mat Zain yang disiarkan menerusi Utusan Malaysia.

Dr Asri: Tindakan pegawai JAKIM menuduh saya membuat sijil palsu amat hina dan jijik. Seakan tidak waras dan berfikir panjang. Masakan UIA, USM membenarkan saya menyambung Ph.D dan menjadi pensyarah jika sijil saya palsu.

Saya sendiri rasa amat lekeh untuk jawab tuduhan yang seperti ini. Cukuplah dengan rakyat Malaysia melihat gambar sijil yang disertakan ini.

Persoalannya, apakah JAKIM di belakang konspirasi ini? Jika JAKIM terlibat, nanti orang akan tanya apakah terdapat mereka dari Kerajaan Pusat juga terlibat? JAKIM jangan burukkan nama Kerajaan Pusat!

Penahanan Asri cetus 1001 persoalan

KUALA LUMPUR: Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin tengah malam ahad kerana dikatakan berceramah tanpa tauliah menimbulkan pelbagai persoalan.

Selain Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan motif penahanan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata JAIS dan kerajaan negeri Selangor perlu menyelesaikan kes itu dengan sewajarnya.

"Ini kerana tangkapan dah dibuat tetapi proses pendakwaan tidak berjalan sepatutnya. Kalau sudah minta (Asri) untuk pergi mahkamah pukul 9 pagi tetapi sampai tengah hari perkara (tuduhan) itu tidak dimaklumkan, hal seperti ini tidak sewajarnya berlaku," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Asri di sini hari ini. Beliau berkata pertemuannya dengan Asri adalah bagi mendapatkan penjelasan daripada bekas mufti itu mengenai apa yang berlaku terhadapnya.

Katanya kerajaan pusat tidak bertanggungjawab memandangkan kejadian itu berlaku di Hulu Klang, iaitu di bawah jajahan negeri Selangor.

"Hal agama tertakluk kepada negeri masing-masing," katanya.

Asri ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong beliau.

JAIS telah menahan Asri kerana dikatakan menyampaikan kuliah tanpa tauliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay pukul 12 tengah malam.

Beliau diminta hadir di Mahkamah Rendah Syariah di Gombak pagi ini tetapi tidak ada pertuduhan disebut, dan beliau kemudian dibebaskan dengan bon jaminan tanpa cagaran.

Malahan, isu penahanan Asri itu dibangkit dalam persidangan Dewan Rakyat apabila beberapa wakil rakyat menyifatkan tindakan JAIS sebagai penyalahgunaan kuasa.

"Kalau alim ulamak tidak dibenarkan berceramah, pelik saya rasa, melainkan ajaran sesat," kata Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata pegawai penguatkuasa seharusnya menggunakan daya pemikiran yang waras kerana Islam adalah agama yang dimuliakan.

"Mereka (penguatkuasa) harus diberikan tarbiah sebab mereka ini menjaga agama. Mereka tidak boleh buat sesuka hati mereka," katanya.

Cadangan menyelaraskan peraturan agama Islam di seluruh negara juga disokong wakil-wakil pembangkang.

Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) menggesa kerajaan menjelaskan isu pentauliahan supaya difahami oleh rakyat manakala Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Bandar Baru) berkata seorang Mufti Perak sebelum ini juga gagal mengadakan ceramah di Johor kerana ditolak oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

Isu penangkapan Dr Mohd Asri turut dibangkitkan dalam sesi soaljawab di mana Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata setiap negeri mempunyai peraturan masing-masing sekiranya ingin mengadakan ceramah.

PENGUMUMAN


458B MK18, Mengkuang, 14000 Bukit Mertajam, P.Pinang
Tel/Faks: 04-5222691
http://al-qayyim.net/

KOMEN DR ASRI


Sejarah Akan Terus Berulang

Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Terlanjur saya memperkatakan tentang perjuangan Prof Hamka rahimahulLah, saya ingin menyentuh sedikit tentang sepucuk surat beliau yang panjang lebar kepada Mufti Johor ketika itu, iaitu al-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad. Surat itu dinamakan Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, sekarang telah dijadikan sebuah buku yang dijual di pasaran.

Surat ini sekalipun membabitkan persoalan yang kadang-kala menyentuh soal sikap dan peribadi individu, namun ia penting untuk dibaca sebagai pengajaran kepada mereka yang ingin membangunkan Islam. Mempelajari sejarah lepas adalah panduan penting bagi kehidupan insan di hari ini dan akan datang. Sejarah jika tidak diingati untuk pengiktibran bak kata Winston Churchill: “History repeats itself because no one was listening the first time”.

Membaca sejarah bukan bertujuan untuk mengungkit kesalahan orang yang lepas atau sudah tiada, tetapi panduan dan juga peringatan untuk mereka yang masih hidup kerana para pelakon di pentas sejarah itu datang dan pergi, tetapi watak yang diwarisi tetap seiras.

Al-Quran menceritakan sejarah penentang Nabi Musa a.s. dan kerakusan Firaun, bukan untuk kita pergi Mesir menyokong Nabi Musa, atau bersiap menentang Firaun Mesir. Mereka semua sudah tiada lagi dan hanya tinggal dalam lembaran, tetapi watak perjuangan Musa dan kerakusan Firaun terus diwarisi zaman berzaman.

Maka kita wajib bersama dengan perjuangan ala Musa, dan menentang kerakusan watak ala Firaun. Demikian al-Quran menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf a.s. dan adik-beradiknya, bukan untuk kita mengungkit kesalahan adik-beradik Yusuf, tetapi pengajaran dan panduan untuk kita yang masih hidup.

Berbalik kepada surat Prof Hamka, dalam menghadapi pemikiran pembaharuan pada zaman tersebut, Mufti Johor berkenaan telah mengeluarkan kenyataan yang bercampur fitnah kononnya kelompok pembaharuan yang dituduh sebagai kaum muda atau pun wahabi penyebab orang jadi sesat, anti-mazhab, menolak ulama, terpengaruh dengan musuh Islam dan berbagai lagi. Kenyataan itu dibuat menerusi akhbar pada 14 Julai 1958.

Prof Hamka sekalipun dari Indonesia mengambil tanggungjawab menjawab fitnah-fitnah tersebut. Kata Prof Hamka:

“Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum-tua di dalam menghentam kaum-muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul kaum-muda dengan membuat fitnah…sekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-cara pula: matlamat menghalalkan car. Asal saja kaum-muda dapat dipukul hancur tidaklah mengapa berdusta..” (m.s. 85).

Ya! Orang yang kelihatan beragama pun apabila berbeza pendapat akan hilang pertimbangan. Apatah lagi apabila merasakan kepentingan mereka terjejas. Namun perubahan zaman akan tetap menuntut perubahan pemikiran umat. Prof Hamka ketika menyentuh perkembangan ini di Indonesia ketika itu menyebut:

“Maka orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang sekian kalinya dari gerakan kaum-muda! Akhirnya, semua orang hendak dikafirkannya” (m.s. 48).

Katanya juga:

“Memang ada juga orang yang tidak suka berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biar orang tinggal bodoh seperti dahulu dan kalau ada pun fatwa dari mufti hendaklah diterima dengan: Na’am (ya)! Tetapi orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!” (m.s 49).

Tidak Hormat Ulama

Seperti biasa, antara perkara yang selalu dibangkit oleh kelompok yang menjaga tradisi lama ialah kelompok pembaharuan tidak menghormati ulama. Mereka memutar belit maksud kelompok tajdid yang menyatakan tidak salah kita melihat hukum dari berbagai mazhab dan tokoh. Mereka menganggap mengkritik dalil itu sebagai menghina tokoh. Ini kerana sikap kelompok agama berkenaan yang pantang dikritik dan menganggap seakan pandangan tokoh agama kesemuanya mesti ditelan.

Hal ini kita dapat lihat kelangsungannya sehingga hari ini. Di mana akan ada kelompok yang menghalang umat Islam untuk melihat sendiri teks asal perkataan-perkataan imam-imam berkenaan bagi mengetahui apakah yang dikatakan pendapat mazhab itu benar-benar dari imam berkenaan atau andaian semata. Juga untuk sendiri membandingkan pandangan-pandangan mereka secara ilmiah dan membuat pilihan yang terbaik.

Kelompok ini akan membantah dengan seakan berkata: terima sahaja apa yang kami beritahu, jangan sibuk yang menyemak yang asal! Jangan hendak dibuat kajian perbandingan, terima sahaja apa yang kami cakap. Prof Hamka menjawab hal ini dengan katanya:

“Kedua, kata orang kami tidak menghormati ulama. Sebab mereka pun telah memasukkan pula sebuah lagi tiang baru ke dalam Islam, iaitu wajib menghormati ulama. Wajib taklid kepada ulama! Wajib taat kepada guru. Hal ini saya huraikan dengan saksama, kaum muda amat hormat kepada: ulama. Kaum-muda insaf bahawa pengetahuan yang kita dapat sekarang ini, manakan sampaikan ke tangan kita kalau bukan lantaran ulama. Kami sangat patuh kepada ulama ikutan kita keempat-empatnya: Imam Malik, Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal. Demikian cinta hormati kami kepada beliau-beliau sehingga kalau ada ulama yang menjadi pengawal di luar yang mencuba-cuba menghalangi kami buat bertemu dengan pendapat-pendapat beliau-beliau, kami sirwak (memalukan) apa ulama lain itu, dan kami berkata kepinggirlah engkau! Kami hendak bertemu dengan beliau!…keempat-empatnya (imam empat) menyuruh kami meneruskan perjalanan ke atas, ke hulu agama: kepada al-Kitab dan as-sunnah dan keterangan-keterangan yang diberikan oleh orang yang terdekat kepadanya, iaitu sahabat-sahabat Rasulullah. Padahal tatkala kami masih di muara-muara, banyak benar yang menghalangi. Datang syeikh fulan dan sudah jauh di bawah mutaakhirin (kebelakang), bahkan mutaakhiril mutaakhirin (kebelakang dari yang belakang) melarang keras! Jangan pergi ke hulu. Jangan! Haram! Padahal kami tidak mahu dihalang-halangi lagi. Maka dituduhlah kami sesat, siapa kita yang sesat? (m.s. 63).

Berikut Prof Hamka menjawab tuduhan kononnya kelompok pembaharuan tidak menghormati guru-guru agama yang sedia ada. Kata Hamka:

“Alhasil bagi kami ijtihad itu harus digalakkan dan bagi kaum tua pula “taklid dijadikan tiang agama” dan kalau kami bantah taklid, dikatakan kami merosakkan tiang agama. Kadang-kadang dituduh kaum-muda tidak hormat kepada guru. Lantaran itu dikata pula merosak tiang-tiang agama. Yang sebenarnya kami hormat kepada guru dan hormat kepada ibubapa. Sebagai juga saudara-saudara muslimin yang lain. kedudukan guru sama dengan kedudukan ibubapa wajib dihormati dan dimuliakan. Tetapi kalau guru itu silap jalannya, maka sebagai tanda kami hormat ialah kami tegur, dan jika dibawanya dengan sengaja atau tidak dengan sengaja kepada yang salah, kami tidak akan menurut”. (m.s. 65).

Itulah resam perjuangan, tuduhan dan fitnah menghiasi perjalanan. Saya tidak terkejut apabila PGSM dalam laman web membuat memorandum fitnah kepada DYMM Yang DiPertua Agong membantah saya. Dalam memorandum yang kononnya disokong oleh beberapa NGO itu antaranya menyebut: “Beliau juga tidak mengkitiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadith yang diriwayat oleh Imam Bukhari”.

Bahkan fitnah lebih dahsyat daripada itu disebut: ”Beliau juga mencerca para ulamak besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka”. Astaghfirullah, di manalah bukti mereka dalam hal ini. Adakah mereka dapat buktikan dari tulisan atau ucapan saya. Tidakkah mereka rasa takut di mahkamah Allah dengan tuduhan sebegini.

Lebih hairan lagi, tidakkah sebagai persatuan peguam mereka sepatutnya mendapatkan bukti terlebih dahulu, bukan terpengaruh dengan pihak-pihak tertentu yang memberi maklumat palsu. Namun, ini tidak pelik. Ia telah berlaku sebelum ini, ia akan berulang dan terus berulang.

Kita boleh berbeza pendapat. Sama saya atau sesiapa pun bercakap atau tidak, dunia globalisasi ini akan mendedahkan rakyat kepada berbagai maklumat. Namun, memfitnah orang, apatahlagi atas nama NGO Islam adalah tidak wajar. Memfitnah termasuklah dalam soal dosa dan pahala. Allah melarang kita menerima maklumat yang disampaikan oleh orang lain melainkan setelah diselidiki.

Firman Allah: (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. (Surah al-Hujurat, ayat 6)


http://drmaza.com/

Pembebasan Dr Asri

KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tengah malam tadi kerana dipercayai mengajar ilmu agama tanpa tauliah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.

Bagaimanapun beliau dikehendaki hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada pukul 9 pagi esok untuk merakamkan keterangan.

Sementara itu dalam sidang media selepas dibebaskan, Dr Asri bagaimanapun menolak sebab penahanannya ialah atas dakwaan beliau merupakan pengikut Wahabi.

"Dia (anggota JAIS) tak sebut pun perkara itu (Wahabi) kepada saya, dia kata saya mengajar tanpa tauliah, dia tak kata isu itu.

"Isu yang dia kata ialah kerana saya tidak ada tauliah... itu sahaja," katanya.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika Mohd Asri memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.

Bagaimanapun suasana menjadi kecoh apabila sekumpulan lelaki yang berada di dalam banglo berkenaan cuba menghalang penguat kuasa JAIS untuk menahan Mohd Asri.

Pihak polis yang memantau operasi berkenaan hanya menjadi perantara kerana tidak mempunyai waran tangkap.

Turut sama berada dalam banglo berkenaan yang juga sedang mengikuti ceramah oleh Mohd Asri ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Mohd Asri menganggap penangkapannya itu telah dirancang sejak awal.

"Saya menganggap ini adalah usaha tangkapan terpilih kerana mereka memang target saya, ini (tangkapan) yang bertujuan kerana saya percaya ditempat lain juga pasti ada perhimpunan atau majlis-majlis yang sama seperti ini.

"Tapi oleh kerana mereka tahu di sini saya berhimpun, lalu mereka membuat operasi di sini," katanya.

Dalam pada itu beliau turut kesal dengan tindakan anggota JAIS sewaktu menguruskan operasi berkenaan.

"Tindakan JAIS tak serasi, bukan saya nak suruh mereka hormat saya, tapi sekurang-kurangnya mereka juga tahu saya bekas Mufti kerana negeri Perlis," katanya.

Diminta mengulas mengenai tauliah yang dikeluarkan oleh JAIS kepada guru agama yang ingin mengajar di Selangor, Mohd Asri berkata: "Saya ingin beritahu, JAIS ni, ketika saya menjadi mufti Perlis, mereka mengatakan semua mufti boleh mengajar di Selangor melainkan Mufti Perlis.

"Bayangkan kalau mereka tanya saya mengapa tak pohon tauliah... ketika saya ada jawatan mufti pun mereka mengecualikan saya daripada memiliki ruang bercakap dalam negeri Selangor."

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi Bernama berkata polis hanya membantu JAIS dalam operasi itu dan beliau tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung penahanan bekas mufti Perlis itu.

PM persoal motif disebalik penahanan Dr Asri

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mempersoalkan apakah motif di sebalik penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd. Asri Zainul Abdin.

Beliau menambah, Dr Asri adalah seseorang penceramah agama yang jujur dan semua ceramahnya disokong oleh bukti dan dalil yang sahih dari Al-Quran dan As-Sunnah.

"Saya tidak tahu apakah motif disebalik penahanan (Dr Asri) ini. Ianya dilakukan oleh jabatan agama negeri dan ia tiada kaitan dengan kerajaan pusat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvesnyen Pasar Tani di sini pada Isnin.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung penahanan Dr Asri oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada malam Ahad kerana didakwa mengamalkan fahaman Wahabi kepada pengikutnya.

Sementara itu, Dr Asri yang ditahan oleh JAIS tengah malam tadi dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.

Bagaimanapun beliau dikehendaki hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada pukul 9 pagi esok untuk merakamkan keterangan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Asri bagaimanapun menolak sebab penahanannya ialah atas dakwaan beliau merupakan pengikut Wahabi.

"Dia (anggota JAIS) tak sebut pun perkara itu (Wahabi) kepada saya, dia kata saya mengajar tanpa tauliah, dia tak kata isu itu.

"Isu yang dia kata ialah kerana saya tidak ada tauliah... itu sahaja," katanya dalam satu sidang media selepas dibebaskan hari ini.

Semalam, Dr Asri ditahan pada pukul 9 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika ketika Dr Asri memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.

Bagaimanapun suasana menjadi kecoh apabila sekumpulan lelaki yang berada di dalam banglo berkenaan cuba menghalang penguat kuasa JAIS untuk menahan Mohd Asri.

Pihak polis yang memantau operasi berkenaan hanya menjadi perantara kerana tidak mempunyai waran tangkap.

Turut sama berada dalam banglo berkenaan yang juga sedang mengikuti ceramah oleh Mohd Asri ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib.

Nakhaie: Siapa Dr Asri hendak campur tangan soal audit YADIM?

KUALA LUMPUR:Datuk Mohd Nakhaie Ahmad yang bersara dari jawatan Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)semalam (1 November), menyangkal segala dakwaan yang dilemparkan oleh bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Antara dakwaan tersebut ialah kononnya Nakhaie memperalatkan YADIM untuk memungut harta, makan rasuah dan mengeluarkan kenyataan yang Dr Asri tidak diterima UMNO mahupun PAS.

Nakhaie juga turut dituduh menyalahgunakan jawatannya sebagai Yang DiPertua YADIM untuk melancong ke luar negara.

Ekoran itu, Nakhaie mendakwa, dua laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Dan hasil siasatan SPRM setakat ini membuktikan Nakhaie bersih daripada tuduhan itu.

Nakhaie juga mendakwa Dr Asri telah memberikan bayangan seolah-olah beliau memperalatkan YADIM untuk meraih kekayaan.

Malah dakwanya, Dr Asri juga telah meminta Audit Negara menyiasat YADIM untuk memastikan sama ada terdapat penyelewengan wang.

"Bagi saya, Dr Asri tak perlu bagi arahan kepada Audit Negara (AN) kerana AN memang telah dan dipertanggungjawabkan untuk menyiasat perbelanjaan YADIM.

"Jangan campur tangan. Siapa beliau nak mengeluarkan arahan ini?" katanya pada sidang akhbar di kediamannya yang berhampiran dengan Markas PAS, Taman Melewar, Gombak hari ini.

Nakhaie mendakwa YADIM telah diaudit pada awal tahun ini.

Isu 'YADIM perlu diaudit segera' menjadi panas apabila perkara ini dibangkitkan pada hari Sabtu lepas oleh Dr Asri pada sidang akhbar 'Memorandum Fitnah Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kepada Yang di-Pertuan Agong'.

Memorandum itu, antara lain, membantah ura-ura pelantikan Dr Asri sebagai Yang DiPertua YADIM.

Menurut Nakhaie, Dr Asri adalah nama yang disebut-sebut untuk menggantikan tempat beliau untuk jawatan Yang DiPertua YADIM.

Mohd Nakhaie juga menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau terlibat dalam sebarang penghantaran memorandum untuk membantah pelantikan Dr Asri sebagai Yang DiPertua YADIM.

Ditanya mengenai punca-punca dia mengesyaki dirinya menjadi sasaran fitnah itu, jelas Mohd Nakhaie: "Sebab dia menyebut individu terbabit dari segi umur, perkaitannya dengan YADIM dan tiada kaitan dengan agensi-agensi lain. Maka, jelas dia tujukan tuduhan itu kepada saya.

"Permintaannya terhadap Audit Negara agar siasat YADIM dan bukan agensi lain. Ini bermakna tuduhan penyelewengan itu ditujukan kepada saya," jelas Mohd Nakhaie.

Sehubungan itu, Mohd Nakhaie mencabar Dr Asri agar menamakannya sebagai orang yang makan rasuah.

"Terus-terang saja, sebut nama saya makan rasuah. Kalau tidak, dia jadi pembohong...dia tak mahu orang bohong, tapi dia bohong," katanya.

Mohd Nakhaie kesal hal-hal sedemikian dipaparkan dalam suratkhabar dan ini mempamerkan konflik antara orang-orang agama sekali gus menjadi satu paparan tidak baik kepada masyarakat.

Mengenai dakwaan bahawa beliau berkata Dr Asri tidak ditolak Umno dan Pas, Mohd Nakhaie mempersoalkan bila beliau berbuat demikian kerana tiada sebab atau ruang untuknya berbuat demikian.

Ketika menjawab isu penahanan Dr Asri yang didakwa kerana sabotaj JAIS, Nakhaie berkata, "Walaupun dia bekas Mufti tapi dia perlu ada tauliah untuk memberikan ceramah agama.

"Di Perlis mungkin dia tak perlu ada tauliah tapi di Selangor, ianya perlu," kata Nakhaie.

Nakahie juga memberitahu yang dia telah menjadi Yang DiPertua YADIM selama 4 penggal sejak 10 tahun lalu. Kalau ikut kontrak, dia sepatutnya bersara pada April 2012.

"Sebab apa saya tak pasti kenapa kontrak saya dipendekkan. Mungkin kerana saya dah tua," jelas Nakhaie yang berusia 67 tahun.