Sunday, January 16, 2011

Guru dibenar sertai politik

Senario politik tanah air mungkin berubah apabila Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Siswazah Gred DG 41 hingga DG 48 dibenarkan menceburi bidang itu bermula satu ogos ini. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, langkah itu berlandaskan hakikat, guru suatu masa dahulu memainkan peranan penting dalam masyarakat dan politik negara.

Bagi tujuan itu, Tan Sri Sidek berkata, Pindaan Peraturan 21 Peraturan-peraturan Pegawai Awam, Kelakuan Dan Tatatertib 1993 telah diperkenan Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Tindakan sedang diambil untuk mewartakan pindaan peraturan itu.
Sebelum ini, peraturan itu menetapkan hanya pegawai dalam kumpulan sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik. Tetapi dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai memegang sebarang jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu. Beliau berkata syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan pembabitan mereka dalam politik.

No comments: