Sunday, January 16, 2011

Sebahagian Penjimatan Subsidi Akan Disalur Ke Arah Penyedian Peluang Pendidikan

Sebahagian penjimatan hasil penyusunan semula subsidi, akan disalurkan kerajaan ke arah penyediaan lebih banyak peluang pendidikan di negara ini. Di samping itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, beliau sendiri akan meneliti secara peribadi inisiatif baru pendidikan yang boleh dimanfaatkan generasi muda untuk mencapai kejayaan.

Menerusi Blog 1Malaysia.com. my, Datuk Seri Mohd Najib menggesa generasi muda menggunakan sepenuhnya peluang pendidikan yang disediakan kerajaan. Ia termasuk keputusan kerajaan menawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, JPA berdasarkan merit.

Beliau menegaskan, keputusan itu membuktikan kesungguhan beliau melaksanakan transformasi sejajar dengan konsep Satu Malaysia. Menerusinya, pelajar tanpa mengira kaum layak menerima biasiswa JPA jika mendapat 9A+ atau lebih dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, SPM.

Di samping itu, pelajar kurang bernasib baik dari segi sosioekonomi yang mendapat keputusan lebih rendah, juga akan dipertimbangkan biasasiswa berkenan mengikut prinsip keadilan sosial. Ia termasuk pelajar miskin yang tinggal di pedalaman.

Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan juga melaksanakan pelbagai inisiatif dan mengatur rancangan lain untuk memudahkan generasi muda mencapai matlamat dan impian masing-masing. Bagaimanapun, pada masa yang sama, Datuk Seri Mohd Najib juga mahu ibu bapa turut memainkan peranan memastikan kejayaan anak mereka sejajar dengan konsep pendidikan bermula dari rumah.

No comments: