Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan akan menguatkuasakan peraturan baru jualan murah menjelang Aidilfitri ini. Menurut Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri, selain memberi notis, peniaga perlu mematuhi dua syarat tambahan sebelum kelulusan jualan murah diberikan kepada mereka.
Menerusi syarat baru itu, peniaga wajib mengemukakan notis untuk mengadakan jualan murah dengan menyertakan senarai semua produk yang ingin dijual serta harga asal dan selepas potongannya. Manakala barangan jualan murah hendaklah meliputi sekurang-kurangnya 70 peratus daripada keseluruhan produk yang dijual kedai mahupun pasaraya.
Datuk Seri Ismail Sabri / Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan
"Kalau dulu dari segi peraturan yang lepas peniaga hanya beri notis. Notis menyatakan mereka jual murah tapi dari segi produk dan sebagainya mereka tak senaraikan. Ini, menyebabkan berlakunya penyelewengan. Barang yang dijual kadang-kadang dinaikkan harga."
Datuk Seri Ismail ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Guru 2010 Peringat Daerah Bera siang tadi.
Menurutnya, penguatkuasaan dan pemantauan akan dilakukan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 bagi memastikan semua peniaga mematuhi syarat baru berkenaan. Beliau juga berkata, 20 jenis barangan utama terpilih akan disenaraikan di bawah skim kawalan harga sempena sambutan bulan puasa dan hari raya ini.
Pengumumannya akan dibuat minggu depan.
No comments:
Post a Comment